Friday 30 September 2011

Antara Usaha dan Kejayaan

Assalamualaikum dan Salam Ukhwah.

Bismillaahir rahmaanir rahiim.

Usaha merupakan perbuatan yang kita lakukan untuk mencapai sesuatu dengan pelbagai cara. Dalam konteks lain, usaha juga boleh diklasifikasikan sebagai satu ikhtiar yang dilakukan bagi mencari jalan penyelesaian kepada sesuatu perkara. Manakala kejayaan pula lebih menjurus ke arah kemenangan ataupun hasil yang telah kita peroleh. Apa yang dapat disimpulkan di sini adalah usaha dan kejayaan sangat berkait rapat antara satu sama lain bak kata peribahasa usaha itu tangga kejayaan. Tanpa usaha mungkin seseorang itu agak sukar untuk mencapai kejayaan yang diimpikannya. Sebahagian daripada firman Allah s.w.t. dalam surah ar-Rad, ayat 11:

Maksudnya: " .....Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka itu sendiri....."

Jelaslah di sini bahawa untuk mencapai sesuatu perkara ataupun kejayaan itu hendaklah bermula daripada diri kita sendiri iaitu dengan berusaha ke arah pencapaiannya. Ini menunjukkan bahawa setiap hasil kejayaan yang bakal kita peroleh itu bergantung pada tahap bagaimana usaha kita dalam membuktikan bahawa impian itu akan dicapai. Andai lebih usaha yang kita lakukan maka lebih jugalah kejayaan yang bakal ditempa manakala jika usaha yang dilakukan hanya ibarat suam-suam kuku sahaja maka kejayaan yang bakal dicapai tepuk dada tanya diri. 

Usaha Suatu Mujahadah

Jika kita dapat merenung makna di sebalik mujahadah itu sendiri sudah cukup mengambarkan bahawa seseorang itu mesti bermujahadah jika ingin mencapai kejayaan dalam semua perkara. Perkataan mujahadah yang berasal daripada " al-jihad " itu memberi makna usaha dalam segala kesungguhan di atas jalan yang diyakini benar dan ia dapat diterjemahkan lagi dalam skop perjuangan dalam melawan hawa nafsu.

Nafsu merupakan antara pencetus yang menyebabkan seseorang itu malas untuk berusaha. Manusia memang mudah terleka dek hasutan hawa nafsu mereka sendiri. Ini kerana hawa nafsu merupakan suatu perkara yang amat sukar dikalahkan oleh kita dan kita perlu banyak bersabar dalam melalui proses bermujahadah melawan hawa nafsu. Hal ini sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Ghazali bahawa:

" Nafsu tidak dapat dikalahkan dengan tergesa-gesa. Kehendaknya tidak boleh ditekan sekaligus melainkan perlu ditahan secara berperingkat " .

Mujahadah melawan hawa nafsu ini merupakan sesuatu yang amat pahit jika kita alami walaupun begitu kesan yang bakal kita peroleh kelak amatlah manis sekali. Hanya mereka yang benar istiqamah dan sabar sahaja dapat melawan hawa nafsu ini dengan bijak. Para 'ulama telah menentukan tiga prinsip asas melawan hawa nafsu dengan meneliti perjalanan hati dan nafsu manusia. Imam al-Ghazali dalam Kitab Minhajul Abidin telah mengariskan tiga prinsip tersebut iaitu: 

  1. Menahan atau menyekat sumber kekuatannya iaitu dengan kita cuba menghindarkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang dapat menaikkan lagi hawa nafsu itu.
  2. Membebankan nafsu dengan ibadah iaitu dengan memperbanyakkan melakukan amal ibadah fardhu dan sunat kerana cara ini dapat menghindarkan diri kita daripada terjebak ke dalam hasutan hawa nafsu. 
  3. Berdoa memohon bantuan daripada Allah untuk menghadapinya kerana nafsu juga makhluk Allah dan hanya Allah sahaja yang dapat memudahkan seseorang manusia itu untuk menguasai nafsunya sendiri. 
Apabila seseorang itu telah berjaya melawan hawa nafsunya maka mudahlah seseorang itu untuk memberi tumpuan kepada usaha dalam mengecapi kejayaan yang diimpikan. Hal ini kerana sifat malas untuk berusaha itu sendiri merupakan antara sifat yang datang daripada nafsu yang akan menentukan sama ada dia akan mengikut keinginan nafsunya itu ataupun sebaliknya.


Manisnya Andai Sudah Bersedia

Seseorang yang telah berusaha dengan bersungguh-sungguh pasti akan berasa sudah bersedia untuk melalui ujian bagi mencapai kejayaan yang diimpikan. Ini kerana segala apa yang dia sudah lakukan selama ini akan dipersembahkan semasa mengharungi pentas ujian sebelum menempa hasilnya. Andai dia berjaya mencapai kejayaan itu pasti segala apa yang diusahakan sebelum itu terasa sangat manis sekali walaupun hakikat untuk mencapai kejayaan itu sangat perit dengan segala cabaran yang menduga jiwa dan raga perlu dihadapi. 

Usaha di atas iltizam yang sangat tinggi bagi mencapai sesuatu tujuan itu sangat bermakna apabila kita sudah memperoleh hasil daripada penat lelah selama ini. Segala apa yang diusahakan selama ini terasa seperti sudah terbalas apabila mencapai hasrat yang diinginkan. Benarlah firman Allah s.w.t. dalam surah Yasin, ayat 54:

Sebahagian maksudnya: ".....dan kamu pula tidak akan dibalas melainkan menurut amal yang kamu telah kerjakan " .

Kesimpulannya, setiap kejayaan yang kita peroleh itu mestilah datangnya daripada usaha dalam semangat ingin mencapainya biarpun dalam apa jua keadaan. Melalui usaha ia dapat membuktikan bahawa tahap keikhlasan kita untuk memperoleh sesuatu yang berguna itu dengan bersungguh-sungguh ataupun tidak. Maka jelaslah sebagaimana disebut dalam ayat 11 daripada surah ar-Rad yang di atas menerangkan bahawa untuk mencapai sesuatu perkara maka seseorang itu sendiri perlulah berusaha untuk mendapatkannya. Selepas berusaha maka kita mestilah berserah diri kepada Allah semata-mata dan bertawakal kepada-Nya dengan memohon segala apa yang kita lakukan selama ini mudah-mudahan memperoleh hasil yang baik. Firman Allah s.w.t. dalam surah Ali 'Imran, ayat 159:

Maksudnya: " .....Kemudian apabila kamu telah berazam maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya " .

Oleh: Aliff

Sunday 28 August 2011

Salam Aidilfitri 1432 H

Assalamualaikum dan Salam Ukhwah.

Bismillaahir rahmaanir rahiim.




Setelah sebulan umat Islam ditarbiahkan dengan madrasah Ramadan melalui pelbagai bentuk ujian yang menguji keimanan dan ketakwaan maka tibalah suatu hari yang mana merupakan hari kemenangan bagi umat Islam bagi meraikan kemenangan mereka dalam melawan ujian terhadap hawa nafsu sepanjang tempoh berpuasa.


Dalam Kitab Ahkamul ‘Iedain fi Sunnatil Muthahharah menerangkan bahawa hari raya disebut 'Ied dalam bahasa Arab kerana ia datang secara berulang-ulang tahun dengan membawa kegembiraan. Hari itu juga memiliki pelbagai kebaikan kepada umat Islam seperti berbuka yang mana sebelumnya diperintahkan berpuasa, pengeluaran zakat fitrah dan padanya diberikan kebahagiaan, kegembiraan serta kenikmatan. 


Kita mestilah meraikan hari raya ini dengan berpandukan sunnah dan syariat agama. Janganlah kita menyambut kedatangan hari raya dengan aktiviti-aktiviti yang berunsurkan maksiat dan amalan-amalan yang bida'ah serta mungkar. Hal ini kerana hari raya merupakan hari yang bertujuan untuk kita mengagungkan kebesaran Allah s.w.t. bagi menandakan kesyukuran kita setelah berjaya menjalani ibadah puasa dalam bulan Ramadan selama sebulan berdasarkan firman Allah s.w.t. yang bermaksud:


" Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya ( berpuasa ) dan hendaklah kamu mengagungkan Allah di atas pentunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur. "
( Surah al-Baqarah, ayat 185 )


Raikan Dengan Berasaskan Sunnah dan Syariat


Kita perlulah mengelakan daripada meraikan hari raya dengan amalan-amalan yang dilarang agama dengan mengikut sunnah dan syariat yang telah ditetapkan. Hal ini dapat menjadikan hari raya yang kita sambut itu lebih bermakna dan bertepatan dengan tujuannya iaitu untuk mengagungkan kebesaran Allah s.w.t. di samping iringan kesyukuran di atas petunjuk-Nya. Justeru, terdapat pelbagai amalan yang berpandukan sunnah dan syariat agama yang boleh kita lakukan apabila menyambut kedatangan hari raya ini, antaranya: 


1. Mandi dan berhias di pagi hari raya.


Menjadi sunnah untuk mandi pada pagi hari raya sebelum kita berangkat ke masjid untuk menunaikan Solat Hari Raya Aidilfitri. Perlaksanaannya adalah sama seperti perlaksanaan mandi wajib. 


Ali Bin Abi Talib r.a. pernah ditanya tentang mandi: " Apakah perlu mandi setiap hari? " Maka beliau menjawab: " Tidak perlu. Namun, yang perlu mandi adalah pada hari Jumaat, hari Arafah, Hari Raya Aidiladha dan Hari Raya Aidilfitri. "
( Hadis Riwayat Imam as-Syafi'e, dalam Musnad Imam as-Syafi'e )



Sunnah juga untuk kita berhias sama ada pada diri ataupun pakaian dengan bersih dan indah dengan syarat tidak berlebih-lebihan. Ibnu Qayyim al-Jauziyyah r.h. dalam kitabnya iaitu Za'adul Maad menerangkan:

" Nabi s.a.w. memakai pakaian yang paling cantik untuk Solat Aidilfitri dan Aidiladha. Baginda memiliki perhiasan yang dipakai di hari raya dan di hari Jumaat. Ada kalanya Baginda memakai dua burdah ( baju luar ) berwarna hijau atau merah, bukan merah keseluruhannya, bukan merah garang sebagaimana disangka sebahagian manusia, kerana jika demikian tidak dinamakan burdah. Tetapi yang Baginda pakai kain yang ada garis-garis merah seperti kain bergaris dari negeri Yaman. "



Ibnu Qudamah r.h. juga menjelaskan dalam Kitab al-Mughni bahawa:


" Kebiasaan berhias di hari raya adalah perkara yang masyhur. "


2. Makan sebelum Solat Hari Raya Aidilfitri.


Adalah menjadi sunnah untuk kita makan terlebih dahulu iaitu beberapa biji tamar sebelum pergi menunaikan Solat Hari Raya Aidilfitri. Ini berdasarkan daripada sebuah hadis Rasulullah s.a.w.. 


Daripada Anas r.a., beliau berkata: " Rasulullah s.a.w. tidak pergi ke musolla di Hari Raya Aidilfitri sehinggalah Baginda makan beberapa tamar. "
( Hadis Riwayat al-Bukhari, at-Tirmizi, Ibnu Majah dan Ahmad )


3. Solat Hari Raya Aidilfitri dan mendengar khutbah.


Nabi s.a.w. sangat menganjurkan untuk kita bersolat pada hari raya. Baginda tidak pernah meninggalkannya walaupun sekali. Sehinggalah Baginda memerintahkan semua manusia mengerjakannya, para wanita yang merdeka, para gadis pingitan dan wanita yang dalam keadaan haid juga dianjurkan ke musolla ( mereka tidak boleh bersolat tetapi mereka boleh untuk mendengar khutbah ).


Daripada Ummi 'Atiyah r.a., beliau berkata: " Rasulullah memerintahkan kami mengeluarkan para wanita yang merdeka, yang haid dan gadis-gadis pingitan pada Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. "


4. Bertakbir pada Hari Raya Aidilfitri.


Menurut Ibnu Taimiyyah r.h. dalam Majmu' Fatawa menerangkan:


" Takbir pada Hari Raya Aidilfitri bermula ketika terlihatnya hilal ( anak bulan ) dan berakhir dengan selesainya selepas imam habis berkhutbah. "


Anjuran bertakbir ini juga merupakan perintah daripada Allah s.w.t. sebagaimana firman-Nya yang bermaksud: 


" Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya ( berpuasa ) dan hendaklah kamu mengagungkan Allah di atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur. "
( Surah al-Baqarah, ayat 185 )

5. Mengikut jalan yang berbeza ketika pergi dan pulang dari menunaikan Solat Hari Raya Aidilfitri.


Daripada Jabir Bin Abdullah r.a., beliau berkata: " Nabi s.a.w. melalui jalan yang berbeza pada Hari Raya Aidilfitri. "
( Hadis Riwayat al-Bukhari )


" Hal ini dilakukan kerana agar dapat bersalaman dengan orang-orang yang melalui dua jalan tersebut. Ada juga yang berpendapat untuk memberikan pertolongan kepada mereka yang melalui dua jalan tersebut. Ada yang berpendapat untuk menampakkan syiar Islam di jalan-jalan. Tetapi antara pendapat yang menepati kebenarannya adalah agar perjalanan yang ditempuh itu lebih jauh atau banyak langkahnya kerana orang yang pergi ke masjid atau tempat solat maka salah satu langkah kakinya akan meninggikan darjatnya, sedangkan langkah kaki yang lain akan menghapuskan kesalahan-kesalahannya. "  
( Ibnu Qayyim al-Jauziyyah r.h., dalam Za'adul Maad )

6. Mengucapkan Selamat Hari Raya.


Kita boleh untuk mengucapkan apapun jenis kalimah asalkan maksudnya tetap sama iaitu ucapan selamat sempena hari raya. Berdasarkan sunnah, antara ucapan yang boleh kita ucapkan adalah:


Taqabalallah huminna waminkum
( Semoga Allah menerima ( amalan ) dari kami dan dari kamu )


Ibnu Hajar r.h. berkata: Daripada Jubair Bin Nufair, beliau berkata: " Para sahabat Rasulullah s.a.w. apabila bertemu di Hari Raya, sebahagian mereka mengucapkan kepada yang lain: Taqabalallah huminna waminka ( Semoga Allah menerima ( amalan ) dari kami dan dari kamu ). "

7. Amalan ziarah-menziarahi.

Amalan ziarah-menziarahi merupakan antara perkara yang sangat dianjurkan kepada kita baik pada hari raya mahupun pada hari-hari yang lain. Hal ini kerana, dengan amalan ziarah-menziarahi kita bukan sahaja dapat bertanya khabar dengan saudara-saudara kita malah ia turut dapat memperkukuhkan lagi hubungan silahturahim dan menguatkan lagi ukhwah sesama Muslim.

Elakkan Perkara-perkara Maksiat

Setelah kita meraikan hari raya ini dengan berasaskan sunnah dan syariat maka perlulah juga untuk kita mengelakan diri daripada melakukan perkara-perkara yang berunsurkan maksiat, mungkar, bida'ah dan sebagainya yang dilarang agama. Janganlah kita biarkan pentarbiahan diri kita sepanjang bulan Ramadan hancur dan rosak disebabkan perbuatan-perbuatan yang maksiat. Kita perlu lebih peka dalam melakukan setiap perkara itu supaya dapat membimbing kita agar tidak tersilap langkah dalam melakukannya.

Antara perkara yang perlu kita elakkan ketika berhari raya ini adalah:

1. Melakukan pembaziran ketika berhari raya iaitu dengan membeli persiapan raya secara berlebih-lebihan.

2. Bermegah-megahan dengan perhiasan diri, pakaian ataupun perhiasan rumah.

3. Pergaulan bebas antara lelaki dan wanita yang ajnabi.

4. Bersalam-salaman antara lelaki dan wanita yang ajnabi.

5. Meraikan hari raya dengan tabarruj ( berlebih-lebihan dalam berhias ) bagi wanita.

6. Bermain mercun dan sebagainya lagi yang mana dapat membahayakan diri.

7. Makan secara berlebih-lebihan.

Sambutlah kemeriahan Syawal ini dengan berpandukan sunnah dan syariat serta elakkan daripada melakukan perkara-perkara yang ditegah oleh agama. Tujuan sambutan hari raya adalah untuk kita memanjatkan kesyukuran kepada Allah s.w.t. dan janganlah pula kita mencemarkan Syawal yang mana merupakan hari kemenangan bagi kita ini dengan perkara-perkara maksiat, mungkar serta bida'ah. Kita perlulah berusaha untuk meninggalkan apa jua bentuk maksiat dan perbuatan menyambut hari raya dengan amalan yang mungkar dan bida'ah ini kerana hari raya itu sendiri telah diberikan oleh Allah s.w.t. sebagai ganti daripada bentuk perayaan-perayaan kaum Jahiliah yang terdahulu.


Daripada Anas Bin Malik r.a., beliau berkata: " Ketika mula-mula Rasulullah s.a.w. datang ke Madinah, penduduk Madinah ketika itu mempunyai dua hari khusus untuk bergembira yang padanya mereka selalu bermain-main di masa Jahiliah. " Maka Baginda bersabda: " Sesungguhnya Allah telah mengantikan dua hari tersebut dengan yang lebih baik lagi darinya. Iaitu 'Ied al-Fitri dan hari an-Nahr ( 'Ied al-Adha ). "
( Hadis Riwayat Ahmad, dinilai sahih oleh Syu'aib al-Arnauth )


Oleh: Aliff

Sunday 31 July 2011

Salam Ramadhan al-Mubarak 1432 H

Assalamualaikum dan Salam Ukhwah.

Bismillaahir rahmaanir rahiim.





Alhamdulillah, dengan izin dan rahmat daripada Allah s.w.t. kita masih lagi diberi peluang untuk menyambut bulan yang penuh dengan barakah dan rahmat pada tahun ini. Daripada Abu Hurairah r.a., Rasulullah s.a.w. memberi khabar gembira kepada para sahabatnya tentang kedatangan bulan Ramadhan ini dengan bersabda: 


" Telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati. Allah mewajibkan kepadamu puasa di dalamnya. Pada bulan ini pintu-pintu Syurga dibuka, pintu-pintu Neraka ditutup dan para Syaitan diikat, juga terdapat pada bulan ini malam yang lebih baik daripada seribu bulan, barangsiapa tidak memperoleh kebaikannya maka dia tidak memperoleh apa-apa. " 
( Hadis Riwayat Ahmad dan an-Nasa'i )

Sesungguhnya bulan ini sangat mempunyai keistimewaannya yang tersendiri di mana kita perlu berusaha untuk menghidupkan bulan Ramadhan dengan sebaik mungkin seolah-olah seperti Ramadhan yang kita bakal sambut ini sebagai Ramadhan terakhir bagi kita. Bulan Ramadhan juga merupakan bulan yang difardhukan kepada kita untuk berpuasa sebagaimana firman Allah dalam Surah al-Baqarah, ayat 183 yang bermaksud:

" Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan berpuasa ke atas kamu sebagaimana yang diwajibkan ke atas orang-orang yang terdahulu sebelum kamu. Mudah-mudahan kamu bertakwa. "

Bulan Rahmat 

Bulan ini juga dapat dijadikan sebagai platform untuk kita berubah ke arah yang lebih baik dari sebelum ini. Dalam masa kita berpuasa, kita juga boleh menunaikan ibadah-ibadah sunat yang lain seperti banyakkan berdoa, membaca al-Quran, berzikir, memperbanyakkan sedekah dan sebagainya lagi agar puasa kita itu tidaklah hanya sekadar puasa sahaja sebaliknya ia dihiasi juga oleh ibadah-ibadah sunat yang lain.

Adapun jika kita berdoa dalam bulan ini, banyak keistimewaanya yang bakal kita peroleh. Antara keistimewaan itu jelas telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w. dalam hadis Baginda iaitu:

" Sesungguhnya bagi orang yang berpuasa itu ketika berpuasa berbuka ( atau hampir berbuka ) adalah waktu doa yang tidak akan ditolak. "
( Hadis Riwayat Ibn Majah )

Selain itu, tiga golongan yang disebut oleh Rasulullah s.a.w. yang mana doa mereka tidak akan tertolak di antaranya ialah mereka yang berpuasa. Sepertimana sabda Baginda s.a.w.:

" Tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka ialah pemimpin yang adil, mereka yang berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang dizalimi. "
( Hadis Riwayat at-Tirmizi, dia mengatakan hadis ini Hasan )

Madrasah Ramadhan

Dalam bulan ini juga kita boleh mendidik diri kita untuk menjadi seorang manusia yang lebih penyabar dimana ia dapat dipratikkan ketika menahan diri daripada makan dan minum dalam saat berpuasa walaupun diuji dengan pelbagai ujian kita tetap sabar menghadapinya kerana berpuasa. Selain itu, kita juga mampu untuk mendidik diri kita untuk menjadi seorang yang qanaah ataupun berpada-pada dalam kehidupan seharian dimana dapat kita terapkan ketika kita berbelanja untuk membeli juadah berbuka. Belilah pada tahap keperluan bukannya pada tahap keterlaluan.  

Di samping itu, sepanjang Ramadhan ini sudah tentu masjid atau surau akan mengadakan Solat Sunat Tarawih bagi menghidupkan malam Ramadhan tersebut. Maka kita boleh bersama-sama untuk berjamaah menunaikannya, selain beribadah kita juga dapat mengisi malam Ramadhan kita dengan perkara-perkara yang berfaedah. 

Dalam bulan ini juga, Allah telah menjanjikan ganjaran pahala yang berlipat ganda bagi sesiapa yang ikhlas beribadah hanya kerana-Nya. Kita janganlah hanya fanatic melakukan amal ibadah hanya apabila Ramadhan tiba sahaja sebaliknya kita perlulah istiqamah melakukannya dalam bulan-bulan yang lain juga.   

Kesimpulannya, tunaikanlah amal ibadah kita sepanjang Ramadhan ini semata-mata kerana mengharapkan keredhaan serta rahmat daripada Allah s.w.t. dan bukannya kerana suka-suka atau sekadar melepaskan batuk di tangga sahaja. Dalam sebuah hadis, Rasulullah s.a.w. bersabda:

" Sesiapa yang mengerjakan puasa bulan Ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan rahmat daripada Allah, nescaya akan diampunkan baginya dosa-dosa yang telah lalu. "
( Hadis Riwayat al-Bukhari dan Muslim )

Semoga kita dapat menjalankan ibadah puasa dan ibadah-ibadah sunat yang lain sepanjang bulan Ramadhan ini dengan penuh penghayatan dan diharap agar kita dapat berterusan dalam melakukannya. 

Oleh: Aliff 

Saturday 23 July 2011

Keputusan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-53

Assalamualaikum dan Salam Ukhwah.

Bismillaahir rahmaanir rahiim.




Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-53 bagi tahun 1432 Hijrah bersamaan 2011 Masihi telahpun melabuhkan tirainya pada 23 Julai 2011 selepas bermula dari 16 Julai yang lalu dengan bertemakan " Persefahaman Asas Perpaduan Ummah "


Keputusan Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa Kali Ke-53:


Johan Qari:
Amirrahman Abbas ( Malaysia ) - 89.26%




Naib Johan Qari:
Muhammad Suadi Gandisa ( Filipina ) - 88.67%

Tempat Ketiga Qari:
Mahmud al-Basit Mohamed ( Mesir ) - 87.88%

Johan Qariah:
Hajjah Suraya Abu Hassan ( Malaysia ) - 88.33%


Naib Johan Qariah:
Hajjah Norkhalidah Kaspul Anwar ( Indonesia ) - 88.30%

Tempat Ketiga Qariah:
Nor Azizah Solihin ( Singapura ) - 86.17%

Alhamdulillah kerana majlis berjalan dengan lancar sepanjang tempoh tersebut dan tahniah diucapkan kepada kedua-dua wakil qari serta qariah dari Malaysia kerana berjaya menjadi johan dalam Majlis Tilawah al-Quran Peringkat Antarabangsa pada tahun ini.

Oleh: Aliff

Sunday 10 July 2011

Persoalan Dijawab: Hukum Tidak Menutup Aurat

Soalan:


Apa hukum untuk wanita Islam yang tidak memakai tudung tetapi memakai baju yang menutup aurat dan mengamalkan ajaran agama Islam?


Jawapan:


Assalamualaikum.


Bismillaahir rahmaanir rahiim.

Hukum menutup aurat adalah wajib. Bagi wanita, rambut juga termasuk dalam kategori aurat maka wajib bagi seseorang wanita itu untuk menutup rambutnya agar tidak kellihatan.

" Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka ( daripada memandang yang haram ) dan memelihara kehormatan mereka dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya, dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka,....."
( Surah an-Nur, Ayat 31 )


Jelaslah bahawa perintah penutupan aurat ini merupakan satu perintah daripada Allah & hukum perlaksanaannnya adalah wajib serta berdosa jika tidak melakukan sedemikian.

Saya merujuk daripada apa yang diperjelaskan oleh Mufti Negeri Melaka ketika menjawab mengenai masalah 
dalam kategori aurat iaitu hukum amalan seseorang yang tidak menutup aurat, katanya:


" Rambut merupakan aurat yang wajib ditutup oleh wanita apabila berada di hadapan lelaki ajnabi. Oleh itu, mendedahkannya adalah berdosa dan merupakan suatu kemaksiatan yang akan dibalas dengan siksaan yang pedih di akhirat kelak sekiranya dia tidak sempat bertaubat. Dia akan tetap menanggung dosa itu selagi tidak bertaubat daripada perbuatan itu walaupun dia solat lima waktu dan melakukan ibadat yang lain. "


Jadi hukum untuk wanita Islam yang tidak memakai tudung atau dengan kata lain tidak menutup auratnya iaitu rambut adalah berdosa kerana ia telah melanggar perintah Allah walaupun pada masa yang sama dia juga mengamalkan kewajipan agama yang lain.

Allah Lebih Maha Mengetahui.


Oleh: Aliff

Friday 1 July 2011

Demonstrasi: Antara Hikmah dan Musibah

Assalamualaikum dan Salam Ukhwah.

Bismillaahir rahmaanir rahiim.


Demonstrasi merupakan satu cara lain bagi sesuatu pihak itu untuk menyatakan pandangan atau memprotes sesuatu perkara yang pada pandangan mereka tidak sesuai dilakukan dengan cara berkumpul beramai-ramai ataupun berarak.

Dalam zaman globalisasi ini, demonstrasi dijadikan sebagai satu kelaziman yang mana andai sudah tiada cara lain untuk menyatakan kehendak hati maka demonstrasi akan dipilih sebagai satu alternatif kepada penyelesaian dalam sesuatu masalah.


Tetapi adakah dengan berdemonstrasi sehingga mencetuskan rusuhan sebegini dapat menjadikan sesuatu organisasi ataupun sesebuah negara itu kembali stabil dan selamat?

Amar Makruf, Nahi Mungkar

Sebaliknya manhaj para Salafussolleh adalah melakukan sesuatu perkara secara amar makruf, nahi mungkar bukannya melakukan perkara itu sampai membawa kepada kesusahan kepada banyak pihak. Bukankah sudah diajar kepada kita cara terbaik untuk menegur pemimpin, sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadis Baginda S.A.W. iaitu:


" Barangsiapa yang ingin menasihati pemerintah dengan sesuatu perkara. Maka janganlah dia paparkan di khalayak ramai. Akan tetapi hendaklah dia mengambil tangan penguasa dengan empat mata. Jika dia menerima, maka itu ( yang diinginkan ) dan kalau tidak, maka sesungguhnya dia telah menyampaikan nasihat kepadanya. Dosa bagi dia dan pahala baginya ( orang yang menasihati ). "

( Hadis ini dikeluarkan oleh Imam Ahmad al-Khaitysami dalam al-Majma’, Ibnu Abi Ashim dalam as-Sunnah. Banyak yang meriwayatkannya sehingga kedudukannya sahih bukan hasan, apalagi dhaif sebagaimana sebahagian ulama menyatakannya )

Berdemonstrasi boleh dilakukan pada asasnya tetapi lebih utama bagi kita untuk memilih cara lain terlebih dahulu selain berdemonstrasi seperti mengadakan rundingan atau perbincangan sebagaimana yang disebut dalam hadis di atas, membuat bantahan secara bertulis dan andai sudah tiada cara lain serta masalah itu masih belum selesai maka barulah demonstrasi boleh dijadikan alternatif bagi menyelesaikannya.


Hikmah


Demonstrasi yang ingin dilakukan juga mestilah mempunyai hala tuju dan matlamat utama kepada penganjurannya. Jika sesuatu demonstrasi yang dilakukan dengan mempunyai hala tuju dan bukannya secara membabi buta ataupun dengan ketaksuban yang melampau maka apa yang diinginkan dalam demonstrasi tersebut akan berhasil dengan lancar tanpa sebarang masalah. 


Sesuatu pihak yang ingin mengadakan demonstrasi ini perlulah lebih proaktif dengan memastikan demonstrasi yang dilakukan itu berjalan lancar tanpa sebarang kekacauan serta mendapat persetujuan daripada banyak pihak termasuk pihak berkuasa. Demonstrasi yang aman dan lancar tanpa sebarang gangguan akan memberikan kebaikan kepada umum dan memungkinkan sesuatu masalah yang ingin diselesaikan itu berjaya serta mendapat persetujuan dengan rasional.



Ini dapat dilihat daripada hadis Rasulullah S.A.W. yang menerangkan kepada seorang sahabat yang disakiti oleh jirannya untuk membuat bantahan di jalan. Sahabat tersebut menyampaikan berita mengenai kelakuan jirannya itu kepada Rasulullah: 

" Sesungguhnya jiranku menyakitiku. " Sabda Nabi S.A.W.: " Keluarkan baranganmu dan letakkannya di jalan. " Maka lelaki itu mengambil barangannya dan letak di jalan. Lalu, setiap orang yang melintas bertanya: " Apa yang berlaku kepadamu? " Dia menjawab: " Jiranku menyakitiku. " Maka mereka berkata: " Ya Allah laknatilah dia, Ya Allah hinalah dia. " Dengan sebab itu, jirannya berkata: " Kembalilah ke rumahmu, aku tidak akan sakitimu lagi. "
( Hadis Riwayat al-Bazzar dan al-Hakim dalam al-Mustadrak. Ahmad Syakir menilainya sahih )

Ini menunjukkan bahawa jika sesuatu bantahan ataupun demonstrasi itu dilakukan dengan tujuan dan matlamat yang tepat maka penyelesaian kepada sesuatu masalah itu mungkin akan berhasil dengan aman tanpa sebarang kekacauan yang mana akan menyusahkan banyak pihak.

Musibah

Walaupun pada asasnya demonstrasi itu dibolehkan tetapi jangan sampai ia mengundang kepada beberapa masalah yang lain seperti kerosakan harta benda, mewujudkan pergaduhan sehingga menyebabkan banyak pihak yang tidak bersalah turut terlibat, menjatuhkan keaiban seseorang yang mana perbuatan ini sangat dilarang dalam Islam dan sebagainya.

Jika semua ini tidak dapat dibendung maka ia akan menghasilkan sebuah suasana yang sangat buruk kepada sesuatu organisasi mahupun sesebuah negara itu. Keadaan aman dan kehidupan dalam perpaduan mungkin akan terjejas dan menyebabkan pelbagai konflik yang tidak diingini bakal berlaku.

Kesimpulannya, pihak yang ingin melakukan demonstrasi itu perlu bertindak secara rasional jika ingin melakukannya. Sesuatu demonstrasi itu boleh dilakukan jika ia mengandungi hala tuju dan matlamat bukannya hanya sekadar suka-suka sahaja tanpa sebarang tujuan yang munasabah. Perlu difikirkan juga iaitu demonstrasi yang dilakukan itu mesti berjalan dengan lancar dan tidak menyebabkan kesusahan kepada banyak pihak serta impak yang bakal diperoleh daripada perlaksanaannya sama ada hikmah ataupun musibah.

Oleh: Aliff

Tuesday 28 June 2011

Persoalan Dijawab: Solat Istikarah ( Solat Memohon Petunjuk )

Soalan:


Solat Istikarah boleh dilakukan pada bila-bila masa atau pada malam atau pada sepertiga malam?


Jawapan:


Ya, Solat Istikarah iaitu solat untuk memohon petunjuk daripada Allah bagi membuat sesuatu penentuan atau pilihan boleh dilakukan pada bila-bila masa pun. Tiada halangan jika kita ingin lakukannya bila-bila masa yang kita suka cuma janganlah dilakukan pada masa-masa yang dilarang untuk bersolat iaitu pada ketiga-tiga masa ini:

Pertama: Ketika Istiwak atau ketika matahari tegak di atas kepala. Hal ini telah disebut dlm Hadis Riwayat Abu Daud.

Kedua: Sesudah Solat Asar ( hanya bagi mereka yang sudah menunaikan fardhu Asar saja ). Hal ini disebut dalam Hadis Riwayat al-Bukhari.

Ketiga: Ketika Matahari terbenam dan ketika matahari baru terbit. Telah disebut hal ini dlm Hadis Riwayat Muslim.

Adapun begitu, banyak kitab-kitab yang menyatakan ia lebih afdhal ditunaikan pada waktu malam seperti selepas Solat Fardhu Maghrib atau Isyak. Banyak manfaatnya seperti yang disebut dalam Hadis Riwayat Muslim iaitu:

Rasulullah S.A.W. pernah ditanya: 
" Solat apakah yang paling utama selepas solat lima waktu? " Baginda bersabda dengan tegas, " Solat malam! " 

Begitu juga dgn melaksanakannya pada sepertiga malam. Lebih afdhal jika kita lihat kalau ditunaikan pada masa ini. Banyak riwayat yang menceritakan kelebihan sepertiga malam ini. Antaranya saya kongsi sebuah hadis daripada Abu Hurairah yang meriwayatkan bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:

" Allah akan turun setiap malam ke langit dunia pada sepertiga malam terakhir, dan berfirman, " Siapa yang berdoa kepada-Ku, pasti Aku kabulkan. Sesiapa yang memohon kepada-Ku, pasti Aku berikan, dan sesiapa yang memohon ampun kepada-Ku, pasti Aku ampunikannya. " 



Allah Lebih Maha Mengetahui.


Oleh: Aliff

Persoalan Dijawab: Tapak Tangan Di Atas Telekung Sajadah. Sah atau Tidak?

Soalan:


Assalamualaikum.
Sah atau tidak jika ketika sujud telapak tangan kita di atas kain telekung yang kita pakai. Dengan kata lain tapak tangan kita tidak menyentuh permukaan sajadah.

Jawapan:


Walaikumussalam dan terima kasih kerana sudi bertanya.

Bismillaahir rahmaanir rahiim.


Solat itu tetap sah walaupun ketika sujud tapak tangan kita di atas kain telekung yang dipakai. Tidak menjadi masalah jika sujud tapak tangan itu tidak menyentuh permukaan sajadah pun sebabnya yang diambil kira adalah meletakkan dua tapak tangan dan perut jari kedua-dua kaki walaupun sebahagian sahaja. 


Sujud itu juga memadai sekurang-kurangnya hanya meletakkan dahi di atas tempat sujud. Sepertimana sabda Rasulullah S.A.W. dalam Hadis Riwayat Ibnu Hibban yang bermaksud:


" Apabila kamu sujud, tetapkanlah dahi kamu dan jangan melakukannya terlalu laju. "


Keutamaan sujud itu adalah dahi hendaklah sentiasa dilekapkan sebati ke tempat sujud dan kekal dalam keadaan itu sampai habis sujud serta jangan dilakukan secara terburu-buru. 


Selain itu, terdapat juga percanggahan pendapat mengenai sujud ini tetapi dalam Mazhab Imam as-Syafi'e sujud wajib dilakukan dengan melekapkan 7 anggota tubuh ke tanah atau lantai dan seluruh tubuh masih menghadap ke kiblat. Ini berdasarkan kepada sebuah hadis Rasulullah yg bermaksud:


" Aku disuruh sujud dengan tujuh tulang ( anggota ): Dahi, dua telapak tangan, dua lutut dan dua hujung jari kedua belah kaki. "
( Hadis Riwayat Bukhari & Muslim )



Tapi perlu diingat juga iaitu jangan kita menghalangi dahi kita dengan apa-apapun benda yang membolehkannya tidak menyentuh tempat sujud itu termasuk kain telekung. Hal ini kerana jika terdapat halangan pada dahi kita seperti kain telekung maka dikhuatiri sujud itu tidak sempurna dan akan mengakibatkan solat kita tidak sah serta terbatal. Menurut sebuah penerangan mengenainya iaitu:


" Sekurang-kurangnya sujud itu mengenai setengah dahinya akan tempat sujudnya dan wajib dibukakan dahinya jangan ada apapun yang menghalang. "


Andai terdapat benda yang akan menghalang dahi menyentuh ke permukaan tempat sujud maka dinasihatkan ubahlah atau usahalah dengan memastikan benda itu tidak akan menghalang dahi kepada permukaan tempat sujud ketika bersujud.


Allah Lebih Maha Mengetahui.


Oleh: Aliff

Pandangan Jawatankuasa Fatwa Negeri Perlis Berkaitan Pembinaan Tugu 1 Malaysia.

Membina replika tugu 1 Malaysia adalah ditegah kerana ia mengandungi unsur penghormatan yang dikhuatiri boleh menjerumus kepada pemujaan al-Ansab sebagaimana yang ditegah dalam Surah al-Maidah, ayat 90:

Maksudnya: " Wahai orang-orang yang beriman. Sesungguhnya arak, judi dan al-Ansab ( menyembah berhala ) dan az-Azlam ( bertenung nasib ) adalah najis daripada amalan Syaitan. Maka hendaklah kamu jauhkan daripadanya moga-moga kamu berjaya. "


Tegahan ini juga berdasarkan kaedah Sadd al-Zara'i ( menutup pintu kemudaratan ) bagi memelihara kemurniaan akidah, ini sebagaimana larangan Baginda S.A.W. terhadap para sahabat yang ingin menjadikan pokok Zat Anwath sebagai tempat berkumpul. ( Hadis Riwayat at-Tirmidzi dan katanya: " Hadis ini Hasan Sahih ". Ia juga dinilai Sahih oleh al-Haithami, Ahmad Syakir dan al-Albani ).

Selain daripada itu kewajaran tegahan ini juga dilihat dari sudut pembaziran yang diharamkan oleh Islam.