Friday, 6 July 2012

Merantau Demi Mencari Sebekal Ilmu

Assalamu'alaikum dan Salam Ukhwah.

Bismillaahir rahmaanir rahiim.

Manusia dengan ilmu tidak dapat dipisahkan. Bagaikan suatu adunan yang wajib disatukan bersama. Tanpa ilmu manusia jahil, tanpa ilmu manusia sesat dan tanpa ilmu manusia tiada matlamat. 

Sememangnya, keperluan ilmu kepada manusia merupakan sebuah keistimewaan terindah yang diberikan oleh-Nya. Mana mungkin seseorang yang tidak berilmu dapat mengenal Tuhannya, mana mungkin dia dapat mengenal dirinya, namun hanya dengan ilmu kita mampu menafikan itu semua. 

Lihatlah, dengan ilmu manusia mampu membina sebuah tamadun, dengan ilmu jugalah sebuah negara dapat merdeka, dengan ilmu jugalah manusia mampu mencapai apa yang dibanggakan mereka.

Di saat ini, jariku berdansa menaip apa yang ingin ku sampaikan, jariku menaip mengikut kata hati. Walaupun ilhamku untuk menghasilkan secebis pesanan ini bagaikan terhenti seketika disebabkan sibuk dengan tanggungjawab yang hakiki. Tanggungjawab menjadi seorang yang sedang mencari panduan dan haluan buat diri.

Melihat sahabat-sahabatku yang bakal memulakan perjuangan di medan ilmu. Terdetik di hati, inilah yang dipanggil pengembaraan. Pengembaraan demi mencari keberkatan dari Tuhan. Pengembaraan yang bakal membina masa hadapan. Ada yang mengembara di dalam negara ada juga yang bakal menjejakan kaki ke luar negara. 

Biarpun di mana kita berada dan bermukim. Ingatlah, tujuan utama kita adalah menuntut ilmu. Bukannya ingin mencari kesombongan, bukan ingin mencari kebanggaan dengan kelulusan yang dimiliki. 


Tuntutlah ilmu dengan sebaiknya, tuntutlah ia dengan sabar dan penuh ketabahan meskipun sukar. Kerana itulah lumrah menuntut ilmu, tidak dipanggil menuntut ilmu andai diri tidak menemui kesusahan dalam mempelajarinya.

Jadikan menuntut ilmu sebagai amanah dan tanggungjawab yang mesti dipikulkan sebaik mungkin. Biar nafsu sunyi tanpa godaan, biar kaki sunyi tanpa berjalan, namun jangan biarkan akal sunyi tanpa ilmu. Kerana menuntut ilmu bukan perkara biasa, tapi sebuah perkara yang luar biasa. Kepentingannya kepada insan sangat terbukti dan tidak perlu disangkalkan lagi.  

Tertarik diriku dengan kata-kata Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali rahimahullah dalam karya agungnya Ihya' Ulumuddin:

" Ilmu tanpa amal adalah gila dan pada masa yang sama amalan tanpa ilmu adalah suatu amalan yang tidak akan berlaku dan sia-sia " .

Sebuah pesanan yang cukup bermakna dan berhikmah buat sang penuntut ilmu. Suatu peringatan tentang kepentingan amalan terhadap ilmu yang dimiliki. Hanya memiliki ilmu tanpa mengamalkannya adalah suatu perkara yang sia-sia.

Buat para sahabat yang seangkatan denganku dalam medan perjuangan menuntut ilmu. Titipkanlah pesanan yang berguna buat diri yang masih muda dan bertenaga. Gunalah masa yang ada sebaik mungkin untuk merantau mencari sebekal ilmu di samping berusaha beramal dengannya sekadar termampu.  

Jauhilah sikap berbangga-bangga dengan taraf kelulusan yang dimiliki. Kerana itu semua tidak membawa apapun kesan buat diri, hanya gembira di hati tetapi diri tiada apa yang harus dipuji. 

Kerana seseorang yang berilmu tidak dinilai pada taraf kelayakannya, tidak juga dinilai pada tahap pointer yang diperoleh, namum dinilai bagaimana seseorang itu dapat mengamalkan dan menggunakan ilmu yang dimilikinya itu dengan berguna.

Wallahu a'lam.

Oleh: Aliff

Wednesday, 6 June 2012

Transit Zuhrah: Satu Lagi Catatan Sejarah Buat Kita

Assalamu'alaikum dan Salam Ukhwah.

Bismillaahir rahmaanir rahiim.

Segala puji hanya bagi Allah subhanahu wa ta'ala, dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat juga saya menyaksikan suatu fenomena alam semesta yang cukup menarik serta unik pada hari ini (Rabu, 6 Jun 2012) iaitu fenomena Transit Zuhrah. Walaupun pada mulanya pelbagai halangan yang ditempuh disebabkan kelemahan diri saya sendiri namun akhirnya berjaya jua saya menyaksikan fenomena yang boleh dikatakan sebagai peluang terakhir untuk kita menyaksikannya kerana untuk Transit Zuhrah ini kembali berlaku adalah 105 tahun yang akan datang iaitu pada tahun 2117.

Apapun inilah bukti betapa hebat dan besarnya kekuasaan Allah subhanahu wa ta'ala. Tatkala melihat transit ini berlaku terfikir sejenak bahawa beginilah gambaran saiz bumi dengan matahari kerana saiz bumi dan zuhrah adalah hampir sama. Zuhrah ibarat tompokan kecil hitam sahaja apabila dilihat melintasi matahari.

Sedikit penjelasan saya secara ringkas mengenai transit ini. Fenomena Transit Zuhrah ini berlaku disebabkan kedudukan matahari, zuhrah dan bumi berada dalam keadaan sejajar. Keadaan ini sangat jarang berlaku iaitu kedudukan zuhrah berada tepat antara matahari dan bumi. Zuhrah akan melintasi matahari ketika transit ini berlaku dan kita di bumi boleh melihatnya menggunakan alatan pencerap serta juga mata kasar dengan menggunakan penapis matahari.

Fenomena Transit Zuhrah ini berlaku dalam satu corak berulang setiap lebih sedikit dari 100 tahun. Apabila transit ini berlaku ia akan datang dalam dua pasangan fenomena yang dijarakkan 8 tahun antara satu sama lain. Sejak fenomena ini pertama kali dikenalpasti, ia telahpun berlaku sebanyak 6 kali transit iaitu pada tahun 1639, 1761, 1769, 1874, 1882 dan kali terakhir pada 2004. Oleh itu, kemungkinan Transit Zuhrah pada tahun ini adalah peluang terakhir untuk kita menyaksikannya kerana untuk transit ini kembali berlaku adalah pada 105 tahun yang akan datang.

Di bawah antara beberapa gambar contoh yang sempat saya ambil ketika melihat perjalanan transit ini menerusi perkhidmatan iTelescope.net dari Siding Spring Observatory, Australia. Masa yang diambil adalah berdasarkan waktu di Australia. Perbezaaan waktu Malaysia dengan Australia adalah 2 jam. Maksudnya, andai di Australia pukul 1.30 petang maka di Malaysia baharu pukul 11.30 pagi.


Tompokan hitam itu ialah zuhrah manakala yang agak keperangan itu ialah matahari. 


Transit ketika di frasa akhir iaitu zuhrah sedang mula keluar dari kawasan matahari.

Fenomena transit ini telahpun berlaku dengan jayanya. Bagi kita ini merupakan suatu catatan sejarah dan kenangan yang tidak dapat dilupakan. Suatu yang mustahil untuk kita mampu hidup 105 tahun lagi yang akan datang. Oleh itu, jadikan apa yang kita semua alami hari ini sebagai suatu peristiwa yang akan menjadikan diri kita lebih bersyukur kepada Allah subhanahu wa ta'ala di atas segala nikmat kehidupan yang telah diberi selama ini dan semoga ia dapat meningkatkan keimanan serta ketakwaan kita kepada-Nya. 

" Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi serta pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk serta semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan Kami, tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka " .
( Surah Ali 'Imran, ayat 190 dan 191 )

Wallahu a'lam.

Oleh: Aliff

Thursday, 8 March 2012

Keputusan Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2012

Assalamu'alaikum dan Salam Ukhwah.

Bismillaahir rahmaanir rahiim.




Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu ( PABM ) bagi tahun 2012 telah diadakan bagi ujian saringan dan separuh akhir pada 5 hingga 7 Mac 2012 manakala bagi malam kemuncak akhir PABM telah diadakan pada 8 Mac 2012 yang diadakan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya ( PICC ).

Pertandingan ini telah dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Kementerian Pelancongan di samping AG Bestari Events Sdn. Bhd. dilantik selaku pengurus acara dan bertindak sebagai Sekretariat PABM. Seramai 69 orang peserta telah mengambil bahagian dalam PABM 2012 kali ini iaitu bagi kategori Antarabangsa seramai 59 orang peserta manakala bagi kategori Nusantara seramai 10 orang peserta.

Pertandingan ini telah dimulakan dengan ujian saringan dan seterusnya ke peringkat separuh akhir. Daripada 59 orang peserta yang bertanding hanya lapan orang peserta sahaja yang layak untuk berentap di peringkat akhir PABM 2012 iaitu lima dari kategori Antarabangsa dan tiga dari kategori Nusantara.

Markah para pemenang ditentukan berdasarkan 50 markah bagi isi yang disampaikan, 20 markah bagi gaya dan persembahan serta 30 markah bagi bahasa. Markah isi diadili dari segi definisi tajuk pidato, kesesuaian hujah dengan tajuk pidato, pengembangan dan penjelasan hujah yang bernas, fakta-fakta, bukti dan contoh yang bersesuaian dengan hujah. Markah bagi gaya dan penyampaian diadili berdasarkan persembahan pemidato yang lancar, tiada bergantung sepenuhnya kepada nota, kesesuaian nada suara dan persembahan yang meyakinkan, gaya persembahan yang menarik, nilai bujukan yang tinggi serta penyampaian hujah yang tertib. Manakala markah bagi bahasa pula diadili dari segi bahasa yang jelas ( struktur dan sebutan ) dan gaya bahasa yang berkesan serta tepat dengan maksud yang hendak disampaikan.

Keputusan panel hakim adalah muktamad dan markah yang dicatatkan adalah rahsia serta sulit. Para pemenang PABM 2012 yang telah diputuskan oleh panel hakim adalah seperti berikut:

Kategori Nusantara:


Johan: Fathiah Ibrahim ( Malaysia )

- Piala Pusingan, Piala Perdana Menteri
- Piala iringan
- Wang tunai berjumlah USD 5000
- Hadiah iringan dan sijil

Naib Johan: Dayangku Mumtazah Pangiran Hj. Md. Jaafar ( Brunei Darussalam )

- Piala iringan
- Wang tunai USD 3000
- Hadiah iringan dan sijil

Tempat Ketiga: Wahyudi ( Indonesia )

- Piala iringan
- Wang tunai USD 2000
- Hadiah iringan dan sijil

Kategori Antarabangsa:


Johan: Sebghatullah Qazizada ( Afghanistan )

- Piala Pusingan, Piala Perdana Menteri
- Pialan iringan
- Wang tunai USD 5000
- Hadiah iringan dan sijil

Naib Johan: Polina Matveycheva ( Rusia )

- Piala iringan
- Wang tunai USD 3000
- Hadiah iringan dan sijil

Tempat Ketiga: Elena Vorobyeva ( Latvia )

- Piala iringan
- Wang tunai USD 2000
- Hadiah iringan dan sijil

Saguhati:

Semua peserta yang bertanding akan menerima sebuah plag, wang tunai RM 1000, hadiah cenderamata dan sijil.

Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh YAB Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang turut bertindak sebagai Penaung PABM.

Tahniah diucapkan kepada semua pemenang dan peserta yang menyertai PABM 2012 kali ini. Semoga bahasa Melayu akan terus dimartabatkan di seluruh dunia. Bahasa melambangkan bangsa, bahasa jua yang menyatukan kita semua.

Oleh: Aliff

Sumber Rujukan:

Portal Rasmi PABM 2012 

Wednesday, 22 February 2012

Persoalan Dijawab: Pencerahan Mengenai Isu Minuman Bikarbonat dan Alkohol

Assalamu 'alaikum dan Salam Ukhwah.

Bismillaahir rahmaanir rahiim.

Pada ruangan Persoalan Dijawab kali ini, saya akan menerangkan secara jelas mengenai status minuman bikarbonat Coca-Cola yang telah mencetuskan suatu isu berkaitan minuman tersebut mengandungi kandungan alkohol. Sebelum ini saya turut ditanya mengenai masalah yang sama justeru saya telah melakukan sedikit semakan dan merujuk kepada beberapa fatwa yang dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan serta kajian-kajian yang dilakukan oleh pihak Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM ) mengenai masalah tersebut.


( Sumber: Gambar daripada internet )

Hasil daripada semakan itu mendapati:

1) Merujuk kepada artikel yang disebarkan itu, kandungan alkohol adalah 2 oz of flavour to 5 gals syrup, means that 8 oz for 20 gallon, So 236 ml alcohol for 761 liter total. Approximately 0.31 % alcohol content, so below limit 1 %.

2) Terdapat masalah berkenaan istilah alkohol ( ethanol ) dan arak bagi pemahaman dalam kalangan masyarakat Malaysia.

3) Alkohol tidak digunakan atau dimasukkan di dalam pembuatan minuman bikarbonat, akan tetapi tindak balas kandungan gula yang terlalu tinggi di dalam minuman tersebut boleh menghasilkan alkohol. 

Merujuk kepada fatwa yang dikeluarkan oleh Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan:

Berdasarkan taklimat, pembentangan dan penjelasan yang disampaikan oleh pakar-pakar daripada Institut Produk Makanan Halal, Universiti Putra Malaysia ( UPM ) serta dengan mengambil kira keputusan-keputusan yang telah diputuskan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang membincangkan isu alkohol dalam makanan, minuman, pewangi dan ubat-ubatan pada 14 hingga 16 Julai 2011 telah bersetuju memutuskan seperti berikut:

1. Setiap minuman arak adalah mengandungi alkohol. Walaubagaimanapun, bukan semua alkohol itu adalah arak. Alkohol yang diperoleh daripada proses pembuatan arak hukumnya haram dan najis.

2. Manakala alkohol yang diperoleh bukan melalui proses pembuatan arak hukumnya tidak najis, tetapi haram ( tidak boleh ) diminum dalam bentuk aslinya kerana ia adalah racun dan boleh membunuh.

3. Minuman ringan yang diproses / dibuat bukan dengan tujuan untuk menghasilkan arak dan mempunyai alkohol di bawah aras 1 % v/v adalah harus ( boleh ) diminum.

4. Manakala minuman ringan yang dibuat dengan niat dan cara yang sama seperti proses membuat arak, sama ada mengandungi banyak atau sedikit alkohol atau alkoholnya disuling adalah haram diminum.

5. Makanan atau minuman yang mengandungi alkohol secara semulajadi seperti buah-buahan, kekacang, atau bijirin serta perahannya, atau alkohol yang terkandung itu terjadi secara sampingan semasa proses pembuatan makanan atau minuman adalah tidak najis dan harus ( boleh ) dimakan / diminum.

6. Makanan atau minuman yang mengandungi bahan perisa atau pewarna yang mengandungi alkohol untuk tujuan penstabilan adalah harus ( boleh ) digunakan sekiranya alkohol itu bukan dihasilkan daripada proses pembuatan arak dan kuantiti alkohol dalam produk akhir itu adalah tidak memabukkan dan kadar alkohol tidak melebihi 0.5 %.

7. Ubat-ubatan dan pewangi yang mengandungi alkohol sebagai bahan pelarut adalah tidak najis dan diharuskan sekiranya alkohol tersebut bukan diambil melalui proses pembuatan arak.

Kesimpulan saya:

i. Daripada kiraan yang dilakukan seperti di atas mendapati kandungan alkohol yang terkandung di dalam minuman bikarbonat Coca-Cola adalah dibawah aras 1 %. Oleh yang demikian, adalah harus ( boleh ) diminum minuman tersebut. ( Rujuk fatwa di atas, no. 3 )

ii. Minuman bikarbonat Coca-Cola telahpun mendapat pengiktirafan halal oleh pihak JAKIM. 
( Boleh disemak dalam Direktori Halal Malaysia di Portal Rasmi Halal Malaysia )

iii. Masyarakat perlu terlebih dahulu faham mengenai alkohol yang dimaksudkan dengan najis dan haram dimakan atau diminum dengan alkohol yang tidak najis.

iv. Masyarakat perlu lebih peka terhadap status halal bagi setiap produk makanan mahupun minuman yang terdapat di pasaran sebelum menggunakannya dengan memastikan halal tersebut diiktiraf oleh badan piawaian halal iaitu daripada pihak JAKIM.

v. Jangan mudah percaya dengan khabar angin yang dikeluarkan oleh mereka yang tiada hak dalam menentukan fatwa terhadap sesuatu produk makanan ataupun minuman sama ada halal mahupun haram. Semaklah kepada mereka yang mempunyai tanggungjawab dalam penentuan fatwa dan pihak yang bertanggungjawab dalam mengawal piawaian halal. Buat masa ini pihak yang mempunyai tanggungjawab sebagai badan pengawal piawaian halal ialah pihak JAKIM sejak Ogos 2009.

vi. Memastikan status halal bagi sesuatu produk makanan mahupun minuman adalah suatu kepentingan yang mesti ditekankan oleh semua pihak dan begitu juga dalam soal penelitian dalam memilih makanan mahupun minuman dengan berhati-hati memilih produk yang benar baik serta tidak membawa kesan buruk kepada kesihatan. Hal ini mampu mengelakkan daripada berlakunya sebarang syubahah ( keraguan ) dalam kehidupan kita yang jelas dilarang di dalam agama. 

Daripada Nu'man Bin Basyir Radhiallahu 'anhu, beliau berkata: Saya mendengar Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam bersabda: 

" Sesungguhnya yang halal itu sudah jelas dan yang haram itu juga sudah jelas, sedangkan di antara halal dan haram itu ada hal syubahah yang tidak diketahui oleh kebanyakkan manusia. Barangsiapa yang berhati-hati daripada hal yang syubahah itu, maka terjagalah agama dan kehormatannya. Dan barangsiapa terjerumus ke dalam hal-hal syubahah, maka bererti dia terjerumus ke dalam hal yang haram. Ingatlah di dalam tubuh manusia ada segumpal daging, bila segumpal daging itu baik, maka baiklah seluruh tubuh. Dan bila segumpal daging itu rosak, maka rosaklah seluruh tubuh. Segumpal daging itu ialah hati " .
( Hadis Riwayat Bukhari dan Muslim )

Wallahu a'lam.

Oleh: Aliff

Sumber Rujukan:



Saturday, 14 January 2012

Al-Quran dan As-Sunnah Membentuk Peribadi Mulia

Assalamualaikum dan Salam Ukhwah.

Bismillaahir rahmaanir rahiim.

Kehidupan dalam dunia akhir zaman sekarang yang mempunyai pelbagai cabaran dan ancaman ini seringkali menguji diri serta menjadikan kita terletak di tengah-tengah dua haluan yang berbeza iaitu sama ada ingin memilih sesuatu perkara tersebut dari arah positif ataupun dari arah negatif. Seseorang calon peperiksaan yang cemerlang pasti bijak untuk menentukan dan memilih pilihan jawapan yang betul untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaannya, justeru begitu juga yang perlu seseorang remaja itu pratikkan dalam kehidupan sehariannya iaitu perlu bijak mengatur dan memilih sesuatu perkara itu dari arah yang tepat dan betul agar mampu menyelamatkan diri dari terus dicengkam ancaman dunia akhir zaman.

Bagi membuat pilihan yang tepat dan betul dalam kehidupan, seseorang remaja itu mestilah terlebih dahulu mempunyai pegangan yang menjadi panduan dan pengukuh dirinya agar tidak terumbang-ambing dalam melangsungkan kehidupan yang penuh dengan pelbagai cabaran, dugaan dan ancaman, tetapi sebaliknya pegangan yang sedia ada ini akan menjadikan seseorang remaja itu lebih yakin dan terus tetap di atas setiap pilihan yang ingin dilakukan. Pegangan yang dimaksudkan itu sudah tentu dan pastinya ialah al-Quran dan as-Sunnah. Hanya dengan dua pegangan ini sahajalah yang akan membantu setiap remaja itu untuk membuat pilihan ke arah yang betul dan sempurna.


Tanpa dua pegangan hidup yang mulia ini mana mungkin seseorang remaja itu akan bijak dalam menentukan pilihan haluan hidupnya. Hal ini kerana tanpa pegangan sudah pastilah remaja itu akan menentukan pilihan yang ingin dilakukan hanya berdasarkan nafsu dan rasa hati semata-mata yang pastinya mempunyai dan mengundang pelbagai keburukan berbanding kebaikan terhadap diri sendiri.

Masihkah kita ingat mengenai pesanan terakhir Rasulullah s.a.w. apabila baginda menyampaikannya ketika menunaikan Haji Wada' dalam upacara kemuncak ibadat haji iaitu ketika melakukan wukuf di Padang 'Arafah pada tanggal 9 Zulhijjah, 10 Hijrah. Pelbagai pesanan yang diberikan oleh baginda kepada umatnya dan inilah merupakan pesanan sepanjang zaman yang mesti sama-sama kita ingati serta pegangi. Antara pesanan yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. adalah sepertimana yang disabdakan oleh baginda:

" Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi dan Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya. Dua perkara itu ialah Kitabullah dan Sunnahku. "

Sudah terang lagi bersuluh apabila pesanan ini menunjukkan betapa hebatnya dua sumber pegangan utama bagi kita umat Islam khasnya iaitu al-Quran dan as-Sunnah yang jikalau kita berpegang teguh kepada dua sumber ini maka sudah pasti kita tidak akan sesat buat selama-lamanya serta ia akan menjadikan kita mempunyai suatu sistem panduan hidup yang lengkap di mana akan terus membimbing dan memacu diri ini ke arah erti kehidupan yang sebenar.

Rujukan Utama

Sebagai seorang umat Islam yang mengaku beriman kepada Kitab Suci al-Quran sudah tentulah dia mesti menjadikan al-Quran sebagai sumber rujukan utama dalam kehidupan sehariannya. Mengamalkan sikap membaca al-Quran sebagai amalan rutin dan di samping berusaha untuk sentiasa tadabbur setiap ayat-ayat al-Quran yang dibaca akan mendatangkan kesan positif kepada jiwa serta anggota seseorang remaja itu, justeru ia mampu mengawal setiap tindakan seseorang remaja daripada terus terpengaruh dengan hawa nafsu.

Tadabbur merupakan suatu proses untuk memahami setiap ayat al-Quran yang dibaca mahupun didengar dengan cara memerhati serta menghayati maksud setiap ayat al-Quran itu dengan penuh kekhusyukan hati dan anggota seterusnya mengamalkan serta mempratikkan di dalam kehidupan seharian. Tindakan ini akan memberi suatu impak yang baik kepada diri seseorang remaja itu kerana kehidupannya disusuli dengan bimbingan al-Quran. Oleh yang demikian, seseorang remaja yang menjadikan al-Quran sebagai sumber rujukan sudah pasti mampu membentengi diri daripada terus digoda dan terpengaruh dengan hasutan syaitan serta hawa nafsu. Hal ini sebagaimana difirmankan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran yang bermaksud:

" ( Setelah diterangkan yang demikian ) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup ( yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran )? Sesungguhnya orang-orang yang telah berbalik kepada keingkaran mereka sesudah terang nyata kepada mereka kebenaran petunjuk ( yang dikemukakan kepadanya ), syaitanlah yang memperdayakan mereka ( berlaku demikian ), serta memanjangkan angan-angan mereka " .

( Surah Muhammad, ayat 24 - 25 )

Usaha untuk memahami dan menghayati isi al-Quran merupakan suatu usaha yang sangat murni dan mulia bagi seseorang remaja itu agar terus menjalani kehidupan mereka berteraskan akhlak yang dididik dengan kesucian al-Quran. Sebaliknya bagi mereka yang tidak mahu atau enggan memahami serta menghayati al-Quran ini maka berwaspadalah bahawa sesungguhnya mereka mudah untuk terpedaya dan terpengaruh dek hasutan syaitan yang bakal mendatangkan kerugian kepada diri mereka sebagai seorang remaja.

Selain al-Quran, seseorang remaja itu juga mestilah turut menjadikan as-Sunnah sebagai rujukan dan panduan dalam kehidupannya kerana ia merupakan tinggalan kedua Nabi Muhammad s.a.w. selepas Kitab Suci al-Quran. As-Sunnah merupakan segala perkara yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. berupa perbuatan, percakapan, tingkah laku, sifat tubuh dan akhlak baginda. 

Penghayatan terhadap as-Sunnah akan menjadikan remaja itu lebih terdidik dengan sifat-sifat terpuji yang ditonjolkan oleh Rasulullah s.a.w. seterusnya menjadikan mereka mudah untuk mengawal diri mereka daripada melakukan perkara-perkara yang tidak bermanfaat. Hal ini kerana Rasulullah s.a.w. merupakan ikutan serta role model terbaik buat kita sebagaimana yang difirmankan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran yang bermaksud:

" Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan ( keredhaan ) Allah dan ( balasan baik ) Hari Akhirat ….. "

( Surah al-Ahzab, ayat 21 )

Setiap kata-kata yang dilafazkan oleh Rasulullah s.a.w. bukanlah datang daripada hawa nafsunya, tetapi merupakan kata-kata yang berpandukan wahyu Allah s.w.t., sebagaimana yang difirmankan oleh Allah s.w.t. dalam Surah an-Najm, ayat 3 hingga 4 yang bermaksud:

" Dan dia ( Muhammad ) tidak memperkatakan ( sesuatu yang berhubung dengan agama Islam ) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu ( sama ada al-Quran atau Hadis ) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya " .

Jelaslah dengan penghayatan kepada as-Sunnah maka ia mampu untuk membawa seseorang remaja itu akan lebih mengenal dan mendekati peribadi mulia baginda s.a.w., justeru ia akan membuatkan mereka terus berusaha untuk mengamalkan sunnah- sunnahnya yang jelas mampu menjadikan mereka insan yang berakhlak.

Menghayati Al-Quran dan As-Sunnah

Penghayatan kepada dua sumber utama ini akan membantu diri seseorang remaja akan terus berada di landasan yang sebenar sepertimana yang dituntut oleh agama. Hal ini akan mengelakkan diri remaja itu daripada terjebak dengan gejala yang tidak sihat seperti aktiviti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang jika tidak dibendung maka sudah pasti ia akan membawa kepada masalah yang lebih besar seperti penzinaan dan perlakuan ini sangat dilarang keras di dalam agama.

Proses penghayatan ini perlulah disertai dengan interaksi akal dan hati supaya dapat menjadikan seseorang remaja itu lebih tersentuh dan menyelami setiap apa yang dibaca mahupun didengar lalu menyebabkan berlakunya proses muhasabah diri dengan merujuk dalam setiap isi yang terkandung di dalam al-Quran ataupun as-Sunnah sebagai garis panduan. Hal ini kerana al-Quran dan as-Sunnah merupakan sumber panduan utama yang mempunyai pelbagai kelebihan yang jika kita benar-benar memahami setiap apa yang terkandung di dalamnya maka sudah pastilah kehidupan kita akan menjadi lebih sempurna.

Pelbagai masalah mesti dapat diselesaikan jika merujuk al-Quran dan as-Sunnah begitu juga jika mencari nasihat serta motivasi kepada diri semuanya ada di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Terpulang kepada kita sama ada ingin melakukannya ataupun tidak sahaja.

Kesimpulannya, pemahaman dan penghayatan terhadap dua sumber utama ini iaitu al-Quran dan as-Sunnah sangatlah penting yang mesti seseorang remaja itu terapkan dalam kehidupannya. Hal ini kerana dengan dua sumber utama inilah yang akan membantu dan menjadi benteng serta dinding penahan bagi diri remaja itu daripada terus terjebak dalam cabaran sebagai seorang remaja yang merupakan golongan yang paling mudah untuk terpengaruh dengan hasutan syaitan dan hawa nafsu. 

Melalui penghayatan kepada dua sumber utama ini maka ia mampu menjadikan remaja itu lebih kukuh berada di landasan yang sebenar dengan berpaksikan serta berpandukan ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Semoga negara akan melihat suatu generasi pewaris yang berakhlak dengan akhlak didikan al-Quran dan as-Sunnah seterusnya mewujudkan generasi yang berminda madani.

Oleh: Aliff

Friday, 30 September 2011

Antara Usaha dan Kejayaan

Assalamualaikum dan Salam Ukhwah.

Bismillaahir rahmaanir rahiim.

Usaha merupakan perbuatan yang kita lakukan untuk mencapai sesuatu dengan pelbagai cara. Dalam konteks lain, usaha juga boleh diklasifikasikan sebagai satu ikhtiar yang dilakukan bagi mencari jalan penyelesaian kepada sesuatu perkara. Manakala kejayaan pula lebih menjurus ke arah kemenangan ataupun hasil yang telah kita peroleh. Apa yang dapat disimpulkan di sini adalah usaha dan kejayaan sangat berkait rapat antara satu sama lain bak kata peribahasa usaha itu tangga kejayaan. Tanpa usaha mungkin seseorang itu agak sukar untuk mencapai kejayaan yang diimpikannya. Sebahagian daripada firman Allah s.w.t. dalam surah ar-Rad, ayat 11:

Maksudnya: " .....Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah apa yang ada pada sesuatu kaum itu sehingga mereka mengubah apa yang ada pada diri mereka itu sendiri....."

Jelaslah di sini bahawa untuk mencapai sesuatu perkara ataupun kejayaan itu hendaklah bermula daripada diri kita sendiri iaitu dengan berusaha ke arah pencapaiannya. Ini menunjukkan bahawa setiap hasil kejayaan yang bakal kita peroleh itu bergantung pada tahap bagaimana usaha kita dalam membuktikan bahawa impian itu akan dicapai. Andai lebih usaha yang kita lakukan maka lebih jugalah kejayaan yang bakal ditempa manakala jika usaha yang dilakukan hanya ibarat suam-suam kuku sahaja maka kejayaan yang bakal dicapai tepuk dada tanya diri. 

Usaha Suatu Mujahadah

Jika kita dapat merenung makna di sebalik mujahadah itu sendiri sudah cukup mengambarkan bahawa seseorang itu mesti bermujahadah jika ingin mencapai kejayaan dalam semua perkara. Perkataan mujahadah yang berasal daripada " al-jihad " itu memberi makna usaha dalam segala kesungguhan di atas jalan yang diyakini benar dan ia dapat diterjemahkan lagi dalam skop perjuangan dalam melawan hawa nafsu.

Nafsu merupakan antara pencetus yang menyebabkan seseorang itu malas untuk berusaha. Manusia memang mudah terleka dek hasutan hawa nafsu mereka sendiri. Ini kerana hawa nafsu merupakan suatu perkara yang amat sukar dikalahkan oleh kita dan kita perlu banyak bersabar dalam melalui proses bermujahadah melawan hawa nafsu. Hal ini sebagaimana yang disebut oleh Imam al-Ghazali bahawa:

" Nafsu tidak dapat dikalahkan dengan tergesa-gesa. Kehendaknya tidak boleh ditekan sekaligus melainkan perlu ditahan secara berperingkat " .

Mujahadah melawan hawa nafsu ini merupakan sesuatu yang amat pahit jika kita alami walaupun begitu kesan yang bakal kita peroleh kelak amatlah manis sekali. Hanya mereka yang benar istiqamah dan sabar sahaja dapat melawan hawa nafsu ini dengan bijak. Para 'ulama telah menentukan tiga prinsip asas melawan hawa nafsu dengan meneliti perjalanan hati dan nafsu manusia. Imam al-Ghazali dalam Kitab Minhajul Abidin telah mengariskan tiga prinsip tersebut iaitu: 

  1. Menahan atau menyekat sumber kekuatannya iaitu dengan kita cuba menghindarkan diri daripada melakukan perkara-perkara yang dapat menaikkan lagi hawa nafsu itu.
  2. Membebankan nafsu dengan ibadah iaitu dengan memperbanyakkan melakukan amal ibadah fardhu dan sunat kerana cara ini dapat menghindarkan diri kita daripada terjebak ke dalam hasutan hawa nafsu. 
  3. Berdoa memohon bantuan daripada Allah untuk menghadapinya kerana nafsu juga makhluk Allah dan hanya Allah sahaja yang dapat memudahkan seseorang manusia itu untuk menguasai nafsunya sendiri. 
Apabila seseorang itu telah berjaya melawan hawa nafsunya maka mudahlah seseorang itu untuk memberi tumpuan kepada usaha dalam mengecapi kejayaan yang diimpikan. Hal ini kerana sifat malas untuk berusaha itu sendiri merupakan antara sifat yang datang daripada nafsu yang akan menentukan sama ada dia akan mengikut keinginan nafsunya itu ataupun sebaliknya.


Manisnya Andai Sudah Bersedia

Seseorang yang telah berusaha dengan bersungguh-sungguh pasti akan berasa sudah bersedia untuk melalui ujian bagi mencapai kejayaan yang diimpikan. Ini kerana segala apa yang dia sudah lakukan selama ini akan dipersembahkan semasa mengharungi pentas ujian sebelum menempa hasilnya. Andai dia berjaya mencapai kejayaan itu pasti segala apa yang diusahakan sebelum itu terasa sangat manis sekali walaupun hakikat untuk mencapai kejayaan itu sangat perit dengan segala cabaran yang menduga jiwa dan raga perlu dihadapi. 

Usaha di atas iltizam yang sangat tinggi bagi mencapai sesuatu tujuan itu sangat bermakna apabila kita sudah memperoleh hasil daripada penat lelah selama ini. Segala apa yang diusahakan selama ini terasa seperti sudah terbalas apabila mencapai hasrat yang diinginkan. Benarlah firman Allah s.w.t. dalam surah Yasin, ayat 54:

Sebahagian maksudnya: ".....dan kamu pula tidak akan dibalas melainkan menurut amal yang kamu telah kerjakan " .

Kesimpulannya, setiap kejayaan yang kita peroleh itu mestilah datangnya daripada usaha dalam semangat ingin mencapainya biarpun dalam apa jua keadaan. Melalui usaha ia dapat membuktikan bahawa tahap keikhlasan kita untuk memperoleh sesuatu yang berguna itu dengan bersungguh-sungguh ataupun tidak. Maka jelaslah sebagaimana disebut dalam ayat 11 daripada surah ar-Rad yang di atas menerangkan bahawa untuk mencapai sesuatu perkara maka seseorang itu sendiri perlulah berusaha untuk mendapatkannya. Selepas berusaha maka kita mestilah berserah diri kepada Allah semata-mata dan bertawakal kepada-Nya dengan memohon segala apa yang kita lakukan selama ini mudah-mudahan memperoleh hasil yang baik. Firman Allah s.w.t. dalam surah Ali 'Imran, ayat 159:

Maksudnya: " .....Kemudian apabila kamu telah berazam maka bertawakallah kepada Allah. Sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang bertawakal kepada-Nya " .

Oleh: Aliff