Saturday 14 January 2012

Al-Quran dan As-Sunnah Membentuk Peribadi Mulia

Assalamualaikum dan Salam Ukhwah.

Bismillaahir rahmaanir rahiim.

Kehidupan dalam dunia akhir zaman sekarang yang mempunyai pelbagai cabaran dan ancaman ini seringkali menguji diri serta menjadikan kita terletak di tengah-tengah dua haluan yang berbeza iaitu sama ada ingin memilih sesuatu perkara tersebut dari arah positif ataupun dari arah negatif. Seseorang calon peperiksaan yang cemerlang pasti bijak untuk menentukan dan memilih pilihan jawapan yang betul untuk mendapatkan keputusan yang cemerlang dalam peperiksaannya, justeru begitu juga yang perlu seseorang remaja itu pratikkan dalam kehidupan sehariannya iaitu perlu bijak mengatur dan memilih sesuatu perkara itu dari arah yang tepat dan betul agar mampu menyelamatkan diri dari terus dicengkam ancaman dunia akhir zaman.

Bagi membuat pilihan yang tepat dan betul dalam kehidupan, seseorang remaja itu mestilah terlebih dahulu mempunyai pegangan yang menjadi panduan dan pengukuh dirinya agar tidak terumbang-ambing dalam melangsungkan kehidupan yang penuh dengan pelbagai cabaran, dugaan dan ancaman, tetapi sebaliknya pegangan yang sedia ada ini akan menjadikan seseorang remaja itu lebih yakin dan terus tetap di atas setiap pilihan yang ingin dilakukan. Pegangan yang dimaksudkan itu sudah tentu dan pastinya ialah al-Quran dan as-Sunnah. Hanya dengan dua pegangan ini sahajalah yang akan membantu setiap remaja itu untuk membuat pilihan ke arah yang betul dan sempurna.


Tanpa dua pegangan hidup yang mulia ini mana mungkin seseorang remaja itu akan bijak dalam menentukan pilihan haluan hidupnya. Hal ini kerana tanpa pegangan sudah pastilah remaja itu akan menentukan pilihan yang ingin dilakukan hanya berdasarkan nafsu dan rasa hati semata-mata yang pastinya mempunyai dan mengundang pelbagai keburukan berbanding kebaikan terhadap diri sendiri.

Masihkah kita ingat mengenai pesanan terakhir Rasulullah s.a.w. apabila baginda menyampaikannya ketika menunaikan Haji Wada' dalam upacara kemuncak ibadat haji iaitu ketika melakukan wukuf di Padang 'Arafah pada tanggal 9 Zulhijjah, 10 Hijrah. Pelbagai pesanan yang diberikan oleh baginda kepada umatnya dan inilah merupakan pesanan sepanjang zaman yang mesti sama-sama kita ingati serta pegangi. Antara pesanan yang disampaikan oleh Rasulullah s.a.w. adalah sepertimana yang disabdakan oleh baginda:

" Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi dan Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan ada lain agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya nescaya kamu tidak akan sesat buat selama-lamanya. Dua perkara itu ialah Kitabullah dan Sunnahku. "

Sudah terang lagi bersuluh apabila pesanan ini menunjukkan betapa hebatnya dua sumber pegangan utama bagi kita umat Islam khasnya iaitu al-Quran dan as-Sunnah yang jikalau kita berpegang teguh kepada dua sumber ini maka sudah pasti kita tidak akan sesat buat selama-lamanya serta ia akan menjadikan kita mempunyai suatu sistem panduan hidup yang lengkap di mana akan terus membimbing dan memacu diri ini ke arah erti kehidupan yang sebenar.

Rujukan Utama

Sebagai seorang umat Islam yang mengaku beriman kepada Kitab Suci al-Quran sudah tentulah dia mesti menjadikan al-Quran sebagai sumber rujukan utama dalam kehidupan sehariannya. Mengamalkan sikap membaca al-Quran sebagai amalan rutin dan di samping berusaha untuk sentiasa tadabbur setiap ayat-ayat al-Quran yang dibaca akan mendatangkan kesan positif kepada jiwa serta anggota seseorang remaja itu, justeru ia mampu mengawal setiap tindakan seseorang remaja daripada terus terpengaruh dengan hawa nafsu.

Tadabbur merupakan suatu proses untuk memahami setiap ayat al-Quran yang dibaca mahupun didengar dengan cara memerhati serta menghayati maksud setiap ayat al-Quran itu dengan penuh kekhusyukan hati dan anggota seterusnya mengamalkan serta mempratikkan di dalam kehidupan seharian. Tindakan ini akan memberi suatu impak yang baik kepada diri seseorang remaja itu kerana kehidupannya disusuli dengan bimbingan al-Quran. Oleh yang demikian, seseorang remaja yang menjadikan al-Quran sebagai sumber rujukan sudah pasti mampu membentengi diri daripada terus digoda dan terpengaruh dengan hasutan syaitan serta hawa nafsu. Hal ini sebagaimana difirmankan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran yang bermaksud:

" ( Setelah diterangkan yang demikian ) maka adakah mereka sengaja tidak berusaha memahami serta memikirkan isi al-Quran? Atau telah ada di atas hati mereka kunci penutup ( yang menghalangnya daripada menerima ajaran al-Quran )? Sesungguhnya orang-orang yang telah berbalik kepada keingkaran mereka sesudah terang nyata kepada mereka kebenaran petunjuk ( yang dikemukakan kepadanya ), syaitanlah yang memperdayakan mereka ( berlaku demikian ), serta memanjangkan angan-angan mereka " .

( Surah Muhammad, ayat 24 - 25 )

Usaha untuk memahami dan menghayati isi al-Quran merupakan suatu usaha yang sangat murni dan mulia bagi seseorang remaja itu agar terus menjalani kehidupan mereka berteraskan akhlak yang dididik dengan kesucian al-Quran. Sebaliknya bagi mereka yang tidak mahu atau enggan memahami serta menghayati al-Quran ini maka berwaspadalah bahawa sesungguhnya mereka mudah untuk terpedaya dan terpengaruh dek hasutan syaitan yang bakal mendatangkan kerugian kepada diri mereka sebagai seorang remaja.

Selain al-Quran, seseorang remaja itu juga mestilah turut menjadikan as-Sunnah sebagai rujukan dan panduan dalam kehidupannya kerana ia merupakan tinggalan kedua Nabi Muhammad s.a.w. selepas Kitab Suci al-Quran. As-Sunnah merupakan segala perkara yang disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. berupa perbuatan, percakapan, tingkah laku, sifat tubuh dan akhlak baginda. 

Penghayatan terhadap as-Sunnah akan menjadikan remaja itu lebih terdidik dengan sifat-sifat terpuji yang ditonjolkan oleh Rasulullah s.a.w. seterusnya menjadikan mereka mudah untuk mengawal diri mereka daripada melakukan perkara-perkara yang tidak bermanfaat. Hal ini kerana Rasulullah s.a.w. merupakan ikutan serta role model terbaik buat kita sebagaimana yang difirmankan oleh Allah s.w.t. di dalam al-Quran yang bermaksud:

" Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan ( keredhaan ) Allah dan ( balasan baik ) Hari Akhirat ….. "

( Surah al-Ahzab, ayat 21 )

Setiap kata-kata yang dilafazkan oleh Rasulullah s.a.w. bukanlah datang daripada hawa nafsunya, tetapi merupakan kata-kata yang berpandukan wahyu Allah s.w.t., sebagaimana yang difirmankan oleh Allah s.w.t. dalam Surah an-Najm, ayat 3 hingga 4 yang bermaksud:

" Dan dia ( Muhammad ) tidak memperkatakan ( sesuatu yang berhubung dengan agama Islam ) menurut kemahuan dan pendapatnya sendiri. Segala yang diperkatakannya itu ( sama ada al-Quran atau Hadis ) tidak lain hanyalah wahyu yang diwahyukan kepadanya " .

Jelaslah dengan penghayatan kepada as-Sunnah maka ia mampu untuk membawa seseorang remaja itu akan lebih mengenal dan mendekati peribadi mulia baginda s.a.w., justeru ia akan membuatkan mereka terus berusaha untuk mengamalkan sunnah- sunnahnya yang jelas mampu menjadikan mereka insan yang berakhlak.

Menghayati Al-Quran dan As-Sunnah

Penghayatan kepada dua sumber utama ini akan membantu diri seseorang remaja akan terus berada di landasan yang sebenar sepertimana yang dituntut oleh agama. Hal ini akan mengelakkan diri remaja itu daripada terjebak dengan gejala yang tidak sihat seperti aktiviti pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan yang jika tidak dibendung maka sudah pasti ia akan membawa kepada masalah yang lebih besar seperti penzinaan dan perlakuan ini sangat dilarang keras di dalam agama.

Proses penghayatan ini perlulah disertai dengan interaksi akal dan hati supaya dapat menjadikan seseorang remaja itu lebih tersentuh dan menyelami setiap apa yang dibaca mahupun didengar lalu menyebabkan berlakunya proses muhasabah diri dengan merujuk dalam setiap isi yang terkandung di dalam al-Quran ataupun as-Sunnah sebagai garis panduan. Hal ini kerana al-Quran dan as-Sunnah merupakan sumber panduan utama yang mempunyai pelbagai kelebihan yang jika kita benar-benar memahami setiap apa yang terkandung di dalamnya maka sudah pastilah kehidupan kita akan menjadi lebih sempurna.

Pelbagai masalah mesti dapat diselesaikan jika merujuk al-Quran dan as-Sunnah begitu juga jika mencari nasihat serta motivasi kepada diri semuanya ada di dalam al-Quran dan as-Sunnah. Terpulang kepada kita sama ada ingin melakukannya ataupun tidak sahaja.

Kesimpulannya, pemahaman dan penghayatan terhadap dua sumber utama ini iaitu al-Quran dan as-Sunnah sangatlah penting yang mesti seseorang remaja itu terapkan dalam kehidupannya. Hal ini kerana dengan dua sumber utama inilah yang akan membantu dan menjadi benteng serta dinding penahan bagi diri remaja itu daripada terus terjebak dalam cabaran sebagai seorang remaja yang merupakan golongan yang paling mudah untuk terpengaruh dengan hasutan syaitan dan hawa nafsu. 

Melalui penghayatan kepada dua sumber utama ini maka ia mampu menjadikan remaja itu lebih kukuh berada di landasan yang sebenar dengan berpaksikan serta berpandukan ajaran al-Quran dan as-Sunnah. Semoga negara akan melihat suatu generasi pewaris yang berakhlak dengan akhlak didikan al-Quran dan as-Sunnah seterusnya mewujudkan generasi yang berminda madani.

Oleh: Aliff

No comments:

Post a Comment