Bismillaahir rahmaanir rahiim.
Manusia dengan ilmu tidak dapat dipisahkan. Bagaikan suatu adunan yang wajib disatukan bersama. Tanpa ilmu manusia jahil, tanpa ilmu manusia sesat dan tanpa ilmu manusia tiada matlamat.
Sememangnya, keperluan ilmu kepada manusia merupakan sebuah keistimewaan terindah yang diberikan oleh-Nya. Mana mungkin seseorang yang tidak berilmu dapat mengenal Tuhannya, mana mungkin dia dapat mengenal dirinya, namun hanya dengan ilmu kita mampu menafikan itu semua.
Lihatlah, dengan ilmu manusia mampu membina sebuah tamadun, dengan ilmu jugalah sebuah negara dapat merdeka, dengan ilmu jugalah manusia mampu mencapai apa yang dibanggakan mereka.
Di saat ini, jariku berdansa menaip apa yang ingin ku sampaikan, jariku menaip mengikut kata hati. Walaupun ilhamku untuk menghasilkan secebis pesanan ini bagaikan terhenti seketika disebabkan sibuk dengan tanggungjawab yang hakiki. Tanggungjawab menjadi seorang yang sedang mencari panduan dan haluan buat diri.
Melihat sahabat-sahabatku yang bakal memulakan perjuangan di medan ilmu. Terdetik di hati, inilah yang dipanggil pengembaraan. Pengembaraan demi mencari keberkatan dari Tuhan. Pengembaraan yang bakal membina masa hadapan. Ada yang mengembara di dalam negara ada juga yang bakal menjejakan kaki ke luar negara.
Biarpun di mana kita berada dan bermukim. Ingatlah, tujuan utama kita adalah menuntut ilmu. Bukannya ingin mencari kesombongan, bukan ingin mencari kebanggaan dengan kelulusan yang dimiliki.
Tuntutlah ilmu dengan sebaiknya, tuntutlah ia dengan sabar dan penuh ketabahan meskipun sukar. Kerana itulah lumrah menuntut ilmu, tidak dipanggil menuntut ilmu andai diri tidak menemui kesusahan dalam mempelajarinya.
Jadikan menuntut ilmu sebagai amanah dan tanggungjawab yang mesti dipikulkan sebaik mungkin. Biar nafsu sunyi tanpa godaan, biar kaki sunyi tanpa berjalan, namun jangan biarkan akal sunyi tanpa ilmu. Kerana menuntut ilmu bukan perkara biasa, tapi sebuah perkara yang luar biasa. Kepentingannya kepada insan sangat terbukti dan tidak perlu disangkalkan lagi.
Tertarik diriku dengan kata-kata Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali rahimahullah dalam karya agungnya Ihya' Ulumuddin:
" Ilmu tanpa amal adalah gila dan pada masa yang sama amalan tanpa ilmu adalah suatu amalan yang tidak akan berlaku dan sia-sia " .
Sebuah pesanan yang cukup bermakna dan berhikmah buat sang penuntut ilmu. Suatu peringatan tentang kepentingan amalan terhadap ilmu yang dimiliki. Hanya memiliki ilmu tanpa mengamalkannya adalah suatu perkara yang sia-sia.
Buat para sahabat yang seangkatan denganku dalam medan perjuangan menuntut ilmu. Titipkanlah pesanan yang berguna buat diri yang masih muda dan bertenaga. Gunalah masa yang ada sebaik mungkin untuk merantau mencari sebekal ilmu di samping berusaha beramal dengannya sekadar termampu.
Jauhilah sikap berbangga-bangga dengan taraf kelulusan yang dimiliki. Kerana itu semua tidak membawa apapun kesan buat diri, hanya gembira di hati tetapi diri tiada apa yang harus dipuji.
Kerana seseorang yang berilmu tidak dinilai pada taraf kelayakannya, tidak juga dinilai pada tahap pointer yang diperoleh, namum dinilai bagaimana seseorang itu dapat mengamalkan dan menggunakan ilmu yang dimilikinya itu dengan berguna.
Wallahu a'lam.
Oleh: Aliff
No comments:
Post a Comment