Thursday, 29 November 2012

Islah Diri: Daripada Maya Untuk Realiti

Assalamu'alaikum dan Salam Ukhwah.

Bismillaahir rahmaanir rahiim.

Kehidupan ini bagai suatu diari istimewa yang akan memaparkan perilaku dan rehlah hidup kita dalam setiap ketika. Tatkala kita menyingkap kembali kisah kehidupan yang telah dilalui maka akan terpaparlah riwayat hidup yang bermacam ragam mengikut persona masing-masing. Ada kalanya suka dan ada kalanya duka, itu semua suatu catatan yang tidak dapat dilupakan bagi setiap diri yang mengalaminya.

Tersenyum sejenak diri ini apabila melihat kembali beberapa status yang pernah dikongsikan di laman sosial Facebook suatu ketika dahulu. Ketika itu diri ini masih lagi muda dan sangat aktif ber-Facebook sehinggakan ada sahaja setiap masa status baharu akan dihantar. Status tersebut bukanlah berbau gosip, politik dan kehidupan peribadi namun hanya sekadar motivasi serta sedikit perkongsian agama buat tatapan umum. Walaupun status itu mungkin tidak bernilai di mata awam namun bermakna buat diri ini kerana itu adalah sebahagian daripada dakwah kecil yang mampu dilakukan.

Mujurlah Facebook kini sudah bertukar wajah kepada bentuk kronologi. Apa yang pernah dihantar melalui status dahulu maka kita akan dapat melihatnya kembali. Daripada situlah terpancar akan perubahan yang berlaku terhadap diri ini dari pelbagai sudut. Jika dahulu diri ini memang giat memberi nasihat dan teguran atas semata-mata untuk kebaikan bersama. Tetapi kini disebabkan tanggungjawab yang lebih penting perlu dilaksanakan menyebabkan apa yang aktif dahulu sudah kian menjadi pasif. Lebih suka hanya sekadar menjadi silent reader sahaja dan membantu apabila melihat perlu dibantu.

Namun perubahan yang berlaku sebenarnya akan mendatangkan kesan yang berlainan kepada diri kita. Jika sewaktu aktif ber-Facebook dahulu dikhuatiri juga diri keterlaluan dalam menasihati, itu tidak dikira lagi dari segi bangga yang "mungkin" akan timbul tatkala melihat jumlah butang like yang ditekan di samping jumlah rakan yang memberi komen dan pujian. Kata diri ingin berkongsi sesama rakan namun niat di hati siapalah tahu. Biasalah itu sudah menjadi hakikat manusia yang lemah segala-galanya. Mungkin perubahan yang berlaku ini sebagai peringatan buat diri agar tidak lagi lebih aktif ber-Facebook sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya kepada tanggungjawab yang lebih penting. Bila difikirkan kembali ada baik dan rasionalnya juga tatkala bertukar arah menjadi pengguna Facebook pasif daripada aktif.

"Setiap amalan ada masa semangatnya dan setiap semangat ada masa lemahnya..." [1]

Benarlah sabda Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam bahawa setiap amalan itu ada masa semangatnya dan ada masa lemahnya. Tatkala dahulu diri begitu semangat memberikan nasihat kini menjadi sudah kurang untuk berinteraksi. Kelemahan ini bukanlah disebabkan rasa bosan yang melanda diri tetapi kerana perlu menumpukan kepada tanggungjawab yang lebih utama dan hakiki sebagai penuntut ilmu di samping amanah menjalankan tugas yang lain. Jika ingin dibandingkan tanggungjawab yang perlu ditanggung diri maka sudah pasti tidak dapat disamakan dengan perbuatan yang dilakukan dahulu.


Kini diri ini lebih bergerak secara biasa, tatkala melihat status ataupun perkara yang perlu ditegur maka barulah jari-jemari akan kembali bergerak untuk menasihati. Biarlah, walaupun itu hanya sekadar nasihat yang tiada harga namun moga apa yang dinasihatkan itu akan mendapat kebaikan dan manfaat bersama. Facebook yang dimiliki kini hanya menjadi syarat untuk membolehkan diri untuk berinteraksi sesama rakan di alam maya dan hanya dibiarkan kosong tanpa terdapat kemaskinian status yang baharu. Semua ini sudah tidak seperti dahulu, kerana demi kebaikan diri dan juga masa hadapan. Tanggungjawab yang dipikul diri lebih perlu diutamakan, interaksi maya itu cukup sekadar menjadi sampingan dan tidak boleh diberi tumpuan yang melampau.

Banyak yang ditimba dan banyak juga yang dipelajari apabila islah diri ini berlaku. Semuanya ini untuk memastikan kehidupan dan masa hadapan yang akan datang lebih baik serta tidaklah hanya menjadi sama seperti dahulu.

Teringat akan kata-kata Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, "Ada beza antara main dan guna Facebook." Jika direnung dari segi makna yang tersirat maka memang benar apa yang dikatakan tersebut. Apabila kita menggunakannya untuk suka-suka maka ia akan menjadi sia-sia sebaliknya jika digunakan untuk keperluan sebagai contoh bagi mencari maklumat atau berdakwah maka ia akan memberikan manfaat. Oleh itu, perubahan yang dilakukan ini bukanlah bermakna melarikan diri daripada kebaikan tetapi untuk kembali membina sesuatu yang lebih baik apabila seiring antara tanggungjawab dan hal sampingan.

Itulah rencah kehidupan, apa yang dilalui dahulu tidak semestinya akan terus berlaku sebaliknya akan berlalu begitu sahaja. Kehidupan yang baharu pula akan mengambil tempat bagi mengisi perjalanan hidup sehinggalah kita menemui penamatnya iaitu kematian.

Setiap yang dihadapi dalam hidup ini semuanya mempunyai peranannya masing-masing. Tatkala kita menyangka kehidupan yang dilalui ini duka ia boleh bertukar suka begitu juga apabila kita gembira dan suka dengan kehidupan kita ia berubah menjadi duka. Semua ini hanyalah untuk mengajarkan kita tentang erti kehidupan yang lebih bermakna. Apabila kehidupan diselusuri dengan pengalaman maka ini akan mendidik kita agar lebih memahami dan mendalami sesuatu perkara yang hasilnya kelak memungkinkan kejayaan berharga. Namun, jika kita hanya menggunakan kehidupan lama tanpa berubah maka kita akan terus berada dalam kepompong keselesaan yang dianggap diri sudah sempurna namun hakikatnya kita akan semakin ketinggalan dan tenggelam dengan arus perubahan semasa.

Wallahu a'lam.

Muhammad Aliff
Kangar, Perlis
29 November 2012M
15 Muharram 1434H

__________________________________________________

[1] Hadis riwayat Ahmad.