Saturday 29 September 2012

Hidup Mencari Sinar Kejayaan

Assalamu'alaikum dan Salam Ukhwah.

Bismillaahir rahmaanir rahiim.

Kehidupan bagaikan suatu peperiksaan. Di dunia ini kita belajar dan menghadapi ujian sebelum mendapat keputusannya di akhirat kelak. Keputusan yang akan diperoleh bergantung kepada kepandaian seseorang tersebut menghadapi ujian ketika di dunia, andai bijak mengatur strategi maka baiklah keputusan yang bakal diketahui tetapi andai tersungkur dalam menyelusuri ujian yang dihadapi maka tiada apa yang mampu diucapkan lagi kerana yang menanti merupakan suatu yang sangat digeruni.

Alhamdulillah kerana masih diberi kesempatan untuk menulis di laman ini buat seketika. Walaupun apa yang tersirat di hati yang bakal diterjemahkan ini seringkali terhenti. Namum begitu, disebabkan tindak balas impuls diri yang sangat memuncak untuk berkongsi telah memaksa jari-jemari untuk berdansa sekali lagi di atas papan kekunci.

Terkenang pesanan guruku semasa berada di dalam kereta selepas pulang dari urusan pembelian rumah buat dirinya. Sebuah pesanan yang menyebabkan diriku tersentak seketika.

"Aliff, dalam hidup kita ini perlu ada perancangan yang baik, perancangan dunia, perancangan ekonomi dan perancangan untuk akhirat. Jangan biarkan salah satu daripada ketiga-tiga perancangan ini mendahului antara satu sama lain tetapi lakukannya dengan adil."

Perancangan Dunia

Dunia merupakan tempat transit sebelum menuju ke destinasi akhirat. Kehidupan di dunia ini hanyalah sementara sebelum memasuki kehidupan yang hakiki di akhirat. Sudah menjadi lumrah, hidup di atas dunia ini sememangnya mempunyai pelbagai mehnah dan tribulasi yang perlu dihadapi. Keadaan yang berlaku ini mengajarkan kita tentang erti perjuangan untuk mengejar sesuatu kejayaan. Tidak mungkin jika seseorang itu ingin mencapai kejayaan tetapi dirinya tidak diuji. 

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji? Dan Demi sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian) jelas apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan jelas pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta." [1]

Sudah terang lagi tidak perlu disuluh, bahawa ujian yang dihadapi bukanlah suatu yang sia-sia tetapi sebagai penentu adakah diri kita benar-benar beriman dan bertakwa kepada Allah ataupun tidak. Usaha dan ketabahan amat perlu semasa menjalani kehidupan di dunia ini jika inginkan kejayaan di akhirat.
Pelaksanaan amalan kebaikan dengan melaksanakan segala perintah Allah dan rasul-Nya mesti seiring dan konsisten bersama tugasan hidup lain di dunia ini sebagai seorang khalifah. 

Janganlah disebabkan sibuk dan rakus dalam mengejar kemewahan dunia, soal akhirat diketepikan. Sebaliknya tempuhlah hidup di dunia ini dengan sebaik mungkin selagi nyawa masih dikandung badan. Jika ada masa kita tersungkur dan kalah dengan ujian maka jangan dijadikan itu sebagai titik penamat tetapi jadikannya sebagai batu loncatan untuk lebih berusaha bagi mencapai redha Allah. 

Carilah peluang yang terbaik untuk mengumpul amalan kebaikan selagi bernyawa. Analogi kehidupan sebagai seorang pengembara yang sedang menuju ke destinasi yang diingini. Seorang pengembara hanya akan berehat panjang setelah sampai ke destinasinya, selagi belum tiba ke destinasi maka tiada erti untuk berhenti berusaha. Destinasi kita ialah akhirat, kita ingin mencapai kebahagiaan setelah tiba di sana.

"Daripada Ibnu 'Umar, beliau berkata: Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam memegang bahuku lalu bersabda: Jadilah diri kamu di atas dunia ini sebagai seorang perantau atau pengembara. Ibn 'Umar berkata: Apabila kamu berada pada waktu petang, janganlah menunggu menjelangnya waktu pagi. Apabila kamu berada pada waktu pagi, janganlah menunggu menjelangya waktu petang. Gunakan peluang untuk beramal semasa kamu sihat untuk persediaan ketika kamu sakit dan semasa kamu hidup untuk persediaan matimu." [2]

Perancangan Ekonomi

Ekonomi penting dalam memastikan kelangsungan kehidupan di dunia. Jika ekonomi tidak stabil maka akan memberikan kesulitan kepada seseorang meneruskan hidupnya. Tetapi perlu diingat bahawa jangan jadikan ekonomi mendahului ibadah yang wajib dilaksanakan. Mencari wang dan harta untuk menyara kehidupan merupakan suatu perkara yang harus dilaksanakan hanya untuk memastikan kehidupan dapat berjalan dengan lancar. Namun, kerakusan dalam mencari wang dan harta merupakan suatu perkara yang perlu dielakkan. Jangan disebabkan wang dan harta menjadikan kita lupa akan akhirat.

Perlu bijak dalam menguruskan soal ekonomi dalam kehidupan. Kita tidak mahu kemewahan dunia menghakis cinta kita kepada akhirat. Gunakan wang dan harta untuk tujuan kebaikan. Infak harta sekiranya ada sekadar termampu untuk mencari redha Allah. Jangan terapkan sifat bakhil dalam diri kerana ini hanya bakal mengundang bencana. Wang dan harta bukanlah suatu warisan yang boleh dibawa bersama-sama setelah mati sebaliknya hanya akan menjadi tinggalan buat pewaris yang gembira menanti.

Perancangan Akhirat

Akhirat merupakan destinasi semua insan. Di sana kehidupan kekal selama-lamanya. Dunia ini sebagai pentas pementasan bagi mencapai kebahagiaan di sana. Keputusan penentu sama ada bahagia ataupun tidak di sana bermula segalanya di dunia. Oleh itu, persiapkanlah hidup semasa di dunia sebaik-baiknya jika ingin sebuah kegembiraan dan kebahagiaan.

Jangan memudahkan kehidupan di dunia ini sehingga harapan untuk mencapai kebahagiaan akhirat dihalai-balaikan. Jangan sangka kematian masih jauh dan masih banyak ruang untuk bersantai, kerana saat kematian tiba tiada penggera hanya datang tanpa disangka.

"Manusia (di dunia kebanyakannya) tidur. Bila mereka mati, barulah terjaga." [3] Suatu kiasan yang sungguh berkesan. Manusia sememangnya selalu lalai, alpa dan lupa ketika di dunia tetapi apabila sudah mati barulah diri rasa insaf dan menyesal. Namun semua itu sudah terlambat bagaikan nasi sudah menjadi bubur kerana apa yang berlaku tidak akan berulang kembali.

Berazamlah untuk menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat. Hidup kerana Allah, biar payah dan sukar sekalipun kehidupan ini mesti diteruskan jua dengan sabar serta tabah kerana usah dipandang letihnya usaha yang dilakukan namun lihatlah sebuah kejayaan yang bakal menanti di sana.

Inginku titipkan pesanan ini buat semua insan yang bersemangat mencari sinar kejayaan. Kita semua inginkan kebahagiaan di sana, bermula di dunia inilah kita mesti mencorak dan melakar langkah kita agar tidak terkeluar dari perancangan yang dibuat. Semoga kita dapat membina kejayaan yang diingini dengan berjaya. Jika kita fikirkan boleh, maka kita pasti boleh melakukannya.

Wallahu a'lam.

Oleh:
Muhammad Aliff
Kangar, Perlis.
29 September 2012 M
13 Zulka'edah 1433H

_____________________________________________

[1] Surah al-Ankabut, juzuk 20, ayat dua dan tiga

[2] Hadis riwayat Imam al-Bukhari

[3] 'Ali bin Abi Thalib, Ihya' Ulumiddin, 4:23

No comments:

Post a Comment