Sunday, 28 October 2012

Perjuangan Menagih Impian Sebagai Muslim Sejati

Assalamu'alaikum dan Salam Ukhwah.

Bismillaahir rahmaanir rahiim.

Seringkali seseorang terpesona oleh gaya, terkesima melihat penampilan seseorang. Tetapi ingatlah wahai insan, timbangan seseorang itu dari perspektif Islam bukanlah dari serban yang dipakai, bukannya dinilai dari janggut yang lebat dan kening yang hitam. Hal ini demikian kerana nilaian seseorang itu dalam Islam sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Imam Ibn al-Jauzi rahimahullah (Wafat: 597H) dalam karyanya Saidul Khatir bahawa:

"Timbangan seseorang itu dalam Islam ialah keikhlasan niat, tujuan yang betul dengan maksud yang benar dan ittiba' ar-Rasul."

Muslim sejati ialah seseorang yang mampu mengikhlaskan amaliahnya hanya semata-mata kerana Allah subhanahu wa ta'ala dan menjalankan kehidupannya meneladani Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam dengan mengikuti sunnah-sunnah baginda. Apabila kita menjadikan Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam sebagai contoh teladan yang baik dalam kehidupan seharian itu merupakan bukti kecintaan kita kepada Allah subhanahu wa ta'ala.

"Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." [1]

Kita jangan mudah terkesima, terpedaya hanya dengan penampilan dan perilakunya sahaja kerana timbangan seseorang itu ialah ikhlas dan mutaba'ah amalnya. Oleh kerana itulah para 'ulama salaf terdahulu sering berusaha untuk memperbaiki jiwa dan niatnya berbanding menguruskan penampilan mereka.

Sebagai contoh, Muhammad Bin Sirin rahimahullah (Wafat: 110H), salah seorang imam salaf, peribadi yang dimiliki beliau sungguh hebat tatkala ketika waktu siang beliau bergaul dengan manusia seperti biasa, tertawa dan sebagainya tetapi ketika di malam hari beliau menggunakan masa yang ada untuk beribadah bersungguh-sungguh. Beliau memohon ampun, menangis dan bermunajat kepada Allah subhanahu wa ta'ala seolah-olah telah melakukan suatu dosa yang besar. Sifat zuhud yang tinggi dimiliki beliau itu tidak ditunjukkan di hadapan khalayak kerana perilaku beliau menjalani kehidupan sebagaimana manusia biasa hanya Allah subhanahu wa ta'ala sahaja yang mengetahui yang sebaliknya.

Lihatlah betapa ikhlasnya budi pekerti para 'ulama salaf terdahulu. Kehidupan mereka di dunia untuk akhirat. Keikhlasan yang dimiliki untuk mendekatkan diri kepada Allah diusahakan dengan bersungguh-sungguh bagi memiliki tahap iman dan takwa yang sebenar. Terbukti dalam al-Quran bahawa nilaian kemuliaan seseorang insan bukanlah pada harta, pangkat dan darjat tetapi adalah bukti ketakwaannya kepada Allah subhanahu wa ta'ala.

"Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)." [2]

Ketakwaan yang sebenar-benar takwa kepada Allah subhanahu wa ta'ala akan melahirkan peribadi mulia dalam kehidupan seseorang. Keadaan ini akan menjadikan kehidupan seseorang itu sentiasa berada di bawah tanggungjawab dan ingatan sebagai seorang hamba terhadap Rabnya.


Namun begitu, ketika usaha untuk mencapai kebaikan dalam kehidupan, kita masih terdedah dengan liku-liku cabaran yang bermacam ragam. Cahaya iman yang dirakit dalam samudera kehidupan ini akan terus diuji kekuatannya. Kita terdedah dengan dua arus yang sangat mencabar iaitu ujian dan hasutan. Kedua-duanya memang berbeza, memang sukar untuk ditempuh sehinggakan jika insan itu lemah ia mampu membuatkan diri menjadi lumpuh dan terus rebah tersimpuh.

Bagi mengharunginya kita perlu sentiasa membina kekuatan diri bagi mendepani dugaan yang dihadapi. Jika kecundang sekali bukan bermakna berakhir segala-galanya. Kembali bangkit bagi mengharungi setiap masalah yang mendatang. Memang tidak dapat dinafikan, apabila kita berusaha dan berazam untuk berubah pelbagai dugaan yang mencabar akan mengganggu diri ini. Jika sewaktu kita berada dalam lembah kejahilan dahulu hasutan itu menjadi ikutan kita tetapi apabila kita kembali untuk berubah maka hasutan itu pula akan mencari kita.

Inilah yang mesti kita pertahankan, niat dan azam untuk berubah. Berdoa kepada Allah subhanahu wa ta'ala agar segala yang diimpikan akan dapat dipermudahkan-Nya. Sudah menjadi lumrah bahawa setiap kita akan diuji namun bagaimana langkah untuk kita menghadapinya semua itu tersimpan di dalam sanubari diri kita sendiri. Perubahan yang ingin dilakukan mestilah ikhlas dan betul dengan maksud yang benar kerana Allah subhanahu wa ta'ala agar kita tetap dengan matlamat yang dilakukan. Bukannya hanya sekadar perubahan tanpa matlamat yang akhirnya hanya sekadar menjadi suka-suka.

Wallahu a'lam.

Oleh:
Muhammad Aliff
Kangar, Perlis.
28 Oktober 2012M
12 Zulhijjah 1433H

_______________________________________________

[1] Surah Ali 'Imran, juzuk 3, ayat 31

[2] Surah al-Hujurat, juzuk 26, ayat 13

# Sebahagian daripada perkongsian ilmu dalam artikel ini turut disalin semula menerusi tausiyah Islami yang disampaikan oleh Ustaz Abuz Zubair al-Hawary hafizahullah di samping coretan asli oleh penulis sendiri.

No comments:

Post a Comment