Thursday, 29 November 2012

Islah Diri: Daripada Maya Untuk Realiti

Assalamu'alaikum dan Salam Ukhwah.

Bismillaahir rahmaanir rahiim.

Kehidupan ini bagai suatu diari istimewa yang akan memaparkan perilaku dan rehlah hidup kita dalam setiap ketika. Tatkala kita menyingkap kembali kisah kehidupan yang telah dilalui maka akan terpaparlah riwayat hidup yang bermacam ragam mengikut persona masing-masing. Ada kalanya suka dan ada kalanya duka, itu semua suatu catatan yang tidak dapat dilupakan bagi setiap diri yang mengalaminya.

Tersenyum sejenak diri ini apabila melihat kembali beberapa status yang pernah dikongsikan di laman sosial Facebook suatu ketika dahulu. Ketika itu diri ini masih lagi muda dan sangat aktif ber-Facebook sehinggakan ada sahaja setiap masa status baharu akan dihantar. Status tersebut bukanlah berbau gosip, politik dan kehidupan peribadi namun hanya sekadar motivasi serta sedikit perkongsian agama buat tatapan umum. Walaupun status itu mungkin tidak bernilai di mata awam namun bermakna buat diri ini kerana itu adalah sebahagian daripada dakwah kecil yang mampu dilakukan.

Mujurlah Facebook kini sudah bertukar wajah kepada bentuk kronologi. Apa yang pernah dihantar melalui status dahulu maka kita akan dapat melihatnya kembali. Daripada situlah terpancar akan perubahan yang berlaku terhadap diri ini dari pelbagai sudut. Jika dahulu diri ini memang giat memberi nasihat dan teguran atas semata-mata untuk kebaikan bersama. Tetapi kini disebabkan tanggungjawab yang lebih penting perlu dilaksanakan menyebabkan apa yang aktif dahulu sudah kian menjadi pasif. Lebih suka hanya sekadar menjadi silent reader sahaja dan membantu apabila melihat perlu dibantu.

Namun perubahan yang berlaku sebenarnya akan mendatangkan kesan yang berlainan kepada diri kita. Jika sewaktu aktif ber-Facebook dahulu dikhuatiri juga diri keterlaluan dalam menasihati, itu tidak dikira lagi dari segi bangga yang "mungkin" akan timbul tatkala melihat jumlah butang like yang ditekan di samping jumlah rakan yang memberi komen dan pujian. Kata diri ingin berkongsi sesama rakan namun niat di hati siapalah tahu. Biasalah itu sudah menjadi hakikat manusia yang lemah segala-galanya. Mungkin perubahan yang berlaku ini sebagai peringatan buat diri agar tidak lagi lebih aktif ber-Facebook sebaliknya memberi tumpuan sepenuhnya kepada tanggungjawab yang lebih penting. Bila difikirkan kembali ada baik dan rasionalnya juga tatkala bertukar arah menjadi pengguna Facebook pasif daripada aktif.

"Setiap amalan ada masa semangatnya dan setiap semangat ada masa lemahnya..." [1]

Benarlah sabda Nabi shallallahu 'alaihi wa sallam bahawa setiap amalan itu ada masa semangatnya dan ada masa lemahnya. Tatkala dahulu diri begitu semangat memberikan nasihat kini menjadi sudah kurang untuk berinteraksi. Kelemahan ini bukanlah disebabkan rasa bosan yang melanda diri tetapi kerana perlu menumpukan kepada tanggungjawab yang lebih utama dan hakiki sebagai penuntut ilmu di samping amanah menjalankan tugas yang lain. Jika ingin dibandingkan tanggungjawab yang perlu ditanggung diri maka sudah pasti tidak dapat disamakan dengan perbuatan yang dilakukan dahulu.


Kini diri ini lebih bergerak secara biasa, tatkala melihat status ataupun perkara yang perlu ditegur maka barulah jari-jemari akan kembali bergerak untuk menasihati. Biarlah, walaupun itu hanya sekadar nasihat yang tiada harga namun moga apa yang dinasihatkan itu akan mendapat kebaikan dan manfaat bersama. Facebook yang dimiliki kini hanya menjadi syarat untuk membolehkan diri untuk berinteraksi sesama rakan di alam maya dan hanya dibiarkan kosong tanpa terdapat kemaskinian status yang baharu. Semua ini sudah tidak seperti dahulu, kerana demi kebaikan diri dan juga masa hadapan. Tanggungjawab yang dipikul diri lebih perlu diutamakan, interaksi maya itu cukup sekadar menjadi sampingan dan tidak boleh diberi tumpuan yang melampau.

Banyak yang ditimba dan banyak juga yang dipelajari apabila islah diri ini berlaku. Semuanya ini untuk memastikan kehidupan dan masa hadapan yang akan datang lebih baik serta tidaklah hanya menjadi sama seperti dahulu.

Teringat akan kata-kata Ustaz Hasrizal Abdul Jamil, "Ada beza antara main dan guna Facebook." Jika direnung dari segi makna yang tersirat maka memang benar apa yang dikatakan tersebut. Apabila kita menggunakannya untuk suka-suka maka ia akan menjadi sia-sia sebaliknya jika digunakan untuk keperluan sebagai contoh bagi mencari maklumat atau berdakwah maka ia akan memberikan manfaat. Oleh itu, perubahan yang dilakukan ini bukanlah bermakna melarikan diri daripada kebaikan tetapi untuk kembali membina sesuatu yang lebih baik apabila seiring antara tanggungjawab dan hal sampingan.

Itulah rencah kehidupan, apa yang dilalui dahulu tidak semestinya akan terus berlaku sebaliknya akan berlalu begitu sahaja. Kehidupan yang baharu pula akan mengambil tempat bagi mengisi perjalanan hidup sehinggalah kita menemui penamatnya iaitu kematian.

Setiap yang dihadapi dalam hidup ini semuanya mempunyai peranannya masing-masing. Tatkala kita menyangka kehidupan yang dilalui ini duka ia boleh bertukar suka begitu juga apabila kita gembira dan suka dengan kehidupan kita ia berubah menjadi duka. Semua ini hanyalah untuk mengajarkan kita tentang erti kehidupan yang lebih bermakna. Apabila kehidupan diselusuri dengan pengalaman maka ini akan mendidik kita agar lebih memahami dan mendalami sesuatu perkara yang hasilnya kelak memungkinkan kejayaan berharga. Namun, jika kita hanya menggunakan kehidupan lama tanpa berubah maka kita akan terus berada dalam kepompong keselesaan yang dianggap diri sudah sempurna namun hakikatnya kita akan semakin ketinggalan dan tenggelam dengan arus perubahan semasa.

Wallahu a'lam.

Muhammad Aliff
Kangar, Perlis
29 November 2012M
15 Muharram 1434H

__________________________________________________

[1] Hadis riwayat Ahmad. 

Sunday, 28 October 2012

Perjuangan Menagih Impian Sebagai Muslim Sejati

Assalamu'alaikum dan Salam Ukhwah.

Bismillaahir rahmaanir rahiim.

Seringkali seseorang terpesona oleh gaya, terkesima melihat penampilan seseorang. Tetapi ingatlah wahai insan, timbangan seseorang itu dari perspektif Islam bukanlah dari serban yang dipakai, bukannya dinilai dari janggut yang lebat dan kening yang hitam. Hal ini demikian kerana nilaian seseorang itu dalam Islam sebagaimana yang dijelaskan oleh al-Imam Ibn al-Jauzi rahimahullah (Wafat: 597H) dalam karyanya Saidul Khatir bahawa:

"Timbangan seseorang itu dalam Islam ialah keikhlasan niat, tujuan yang betul dengan maksud yang benar dan ittiba' ar-Rasul."

Muslim sejati ialah seseorang yang mampu mengikhlaskan amaliahnya hanya semata-mata kerana Allah subhanahu wa ta'ala dan menjalankan kehidupannya meneladani Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam dengan mengikuti sunnah-sunnah baginda. Apabila kita menjadikan Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam sebagai contoh teladan yang baik dalam kehidupan seharian itu merupakan bukti kecintaan kita kepada Allah subhanahu wa ta'ala.

"Katakanlah (wahai Muhammad): Jika benar kamu mengasihi Allah maka ikutilah aku, nescaya Allah mengasihi kamu serta mengampunkan dosa-dosa kamu. Dan (ingatlah), Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani." [1]

Kita jangan mudah terkesima, terpedaya hanya dengan penampilan dan perilakunya sahaja kerana timbangan seseorang itu ialah ikhlas dan mutaba'ah amalnya. Oleh kerana itulah para 'ulama salaf terdahulu sering berusaha untuk memperbaiki jiwa dan niatnya berbanding menguruskan penampilan mereka.

Sebagai contoh, Muhammad Bin Sirin rahimahullah (Wafat: 110H), salah seorang imam salaf, peribadi yang dimiliki beliau sungguh hebat tatkala ketika waktu siang beliau bergaul dengan manusia seperti biasa, tertawa dan sebagainya tetapi ketika di malam hari beliau menggunakan masa yang ada untuk beribadah bersungguh-sungguh. Beliau memohon ampun, menangis dan bermunajat kepada Allah subhanahu wa ta'ala seolah-olah telah melakukan suatu dosa yang besar. Sifat zuhud yang tinggi dimiliki beliau itu tidak ditunjukkan di hadapan khalayak kerana perilaku beliau menjalani kehidupan sebagaimana manusia biasa hanya Allah subhanahu wa ta'ala sahaja yang mengetahui yang sebaliknya.

Lihatlah betapa ikhlasnya budi pekerti para 'ulama salaf terdahulu. Kehidupan mereka di dunia untuk akhirat. Keikhlasan yang dimiliki untuk mendekatkan diri kepada Allah diusahakan dengan bersungguh-sungguh bagi memiliki tahap iman dan takwa yang sebenar. Terbukti dalam al-Quran bahawa nilaian kemuliaan seseorang insan bukanlah pada harta, pangkat dan darjat tetapi adalah bukti ketakwaannya kepada Allah subhanahu wa ta'ala.

"Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih takwanya antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam Pengetahuan-Nya (akan keadaan dan amalan kamu)." [2]

Ketakwaan yang sebenar-benar takwa kepada Allah subhanahu wa ta'ala akan melahirkan peribadi mulia dalam kehidupan seseorang. Keadaan ini akan menjadikan kehidupan seseorang itu sentiasa berada di bawah tanggungjawab dan ingatan sebagai seorang hamba terhadap Rabnya.


Namun begitu, ketika usaha untuk mencapai kebaikan dalam kehidupan, kita masih terdedah dengan liku-liku cabaran yang bermacam ragam. Cahaya iman yang dirakit dalam samudera kehidupan ini akan terus diuji kekuatannya. Kita terdedah dengan dua arus yang sangat mencabar iaitu ujian dan hasutan. Kedua-duanya memang berbeza, memang sukar untuk ditempuh sehinggakan jika insan itu lemah ia mampu membuatkan diri menjadi lumpuh dan terus rebah tersimpuh.

Bagi mengharunginya kita perlu sentiasa membina kekuatan diri bagi mendepani dugaan yang dihadapi. Jika kecundang sekali bukan bermakna berakhir segala-galanya. Kembali bangkit bagi mengharungi setiap masalah yang mendatang. Memang tidak dapat dinafikan, apabila kita berusaha dan berazam untuk berubah pelbagai dugaan yang mencabar akan mengganggu diri ini. Jika sewaktu kita berada dalam lembah kejahilan dahulu hasutan itu menjadi ikutan kita tetapi apabila kita kembali untuk berubah maka hasutan itu pula akan mencari kita.

Inilah yang mesti kita pertahankan, niat dan azam untuk berubah. Berdoa kepada Allah subhanahu wa ta'ala agar segala yang diimpikan akan dapat dipermudahkan-Nya. Sudah menjadi lumrah bahawa setiap kita akan diuji namun bagaimana langkah untuk kita menghadapinya semua itu tersimpan di dalam sanubari diri kita sendiri. Perubahan yang ingin dilakukan mestilah ikhlas dan betul dengan maksud yang benar kerana Allah subhanahu wa ta'ala agar kita tetap dengan matlamat yang dilakukan. Bukannya hanya sekadar perubahan tanpa matlamat yang akhirnya hanya sekadar menjadi suka-suka.

Wallahu a'lam.

Oleh:
Muhammad Aliff
Kangar, Perlis.
28 Oktober 2012M
12 Zulhijjah 1433H

_______________________________________________

[1] Surah Ali 'Imran, juzuk 3, ayat 31

[2] Surah al-Hujurat, juzuk 26, ayat 13

# Sebahagian daripada perkongsian ilmu dalam artikel ini turut disalin semula menerusi tausiyah Islami yang disampaikan oleh Ustaz Abuz Zubair al-Hawary hafizahullah di samping coretan asli oleh penulis sendiri.

Saturday, 29 September 2012

Hidup Mencari Sinar Kejayaan

Assalamu'alaikum dan Salam Ukhwah.

Bismillaahir rahmaanir rahiim.

Kehidupan bagaikan suatu peperiksaan. Di dunia ini kita belajar dan menghadapi ujian sebelum mendapat keputusannya di akhirat kelak. Keputusan yang akan diperoleh bergantung kepada kepandaian seseorang tersebut menghadapi ujian ketika di dunia, andai bijak mengatur strategi maka baiklah keputusan yang bakal diketahui tetapi andai tersungkur dalam menyelusuri ujian yang dihadapi maka tiada apa yang mampu diucapkan lagi kerana yang menanti merupakan suatu yang sangat digeruni.

Alhamdulillah kerana masih diberi kesempatan untuk menulis di laman ini buat seketika. Walaupun apa yang tersirat di hati yang bakal diterjemahkan ini seringkali terhenti. Namum begitu, disebabkan tindak balas impuls diri yang sangat memuncak untuk berkongsi telah memaksa jari-jemari untuk berdansa sekali lagi di atas papan kekunci.

Terkenang pesanan guruku semasa berada di dalam kereta selepas pulang dari urusan pembelian rumah buat dirinya. Sebuah pesanan yang menyebabkan diriku tersentak seketika.

"Aliff, dalam hidup kita ini perlu ada perancangan yang baik, perancangan dunia, perancangan ekonomi dan perancangan untuk akhirat. Jangan biarkan salah satu daripada ketiga-tiga perancangan ini mendahului antara satu sama lain tetapi lakukannya dengan adil."

Perancangan Dunia

Dunia merupakan tempat transit sebelum menuju ke destinasi akhirat. Kehidupan di dunia ini hanyalah sementara sebelum memasuki kehidupan yang hakiki di akhirat. Sudah menjadi lumrah, hidup di atas dunia ini sememangnya mempunyai pelbagai mehnah dan tribulasi yang perlu dihadapi. Keadaan yang berlaku ini mengajarkan kita tentang erti perjuangan untuk mengejar sesuatu kejayaan. Tidak mungkin jika seseorang itu ingin mencapai kejayaan tetapi dirinya tidak diuji. 

"Patutkah manusia menyangka bahawa mereka akan dibiarkan dengan hanya berkata: Kami beriman, sedang mereka tidak diuji? Dan Demi sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang yang terdahulu daripada mereka, maka (dengan ujian yang demikian) jelas apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang sebenar-benarnya beriman dan jelas pula apa yang diketahui-Nya tentang orang-orang yang berdusta." [1]

Sudah terang lagi tidak perlu disuluh, bahawa ujian yang dihadapi bukanlah suatu yang sia-sia tetapi sebagai penentu adakah diri kita benar-benar beriman dan bertakwa kepada Allah ataupun tidak. Usaha dan ketabahan amat perlu semasa menjalani kehidupan di dunia ini jika inginkan kejayaan di akhirat.
Pelaksanaan amalan kebaikan dengan melaksanakan segala perintah Allah dan rasul-Nya mesti seiring dan konsisten bersama tugasan hidup lain di dunia ini sebagai seorang khalifah. 

Janganlah disebabkan sibuk dan rakus dalam mengejar kemewahan dunia, soal akhirat diketepikan. Sebaliknya tempuhlah hidup di dunia ini dengan sebaik mungkin selagi nyawa masih dikandung badan. Jika ada masa kita tersungkur dan kalah dengan ujian maka jangan dijadikan itu sebagai titik penamat tetapi jadikannya sebagai batu loncatan untuk lebih berusaha bagi mencapai redha Allah. 

Carilah peluang yang terbaik untuk mengumpul amalan kebaikan selagi bernyawa. Analogi kehidupan sebagai seorang pengembara yang sedang menuju ke destinasi yang diingini. Seorang pengembara hanya akan berehat panjang setelah sampai ke destinasinya, selagi belum tiba ke destinasi maka tiada erti untuk berhenti berusaha. Destinasi kita ialah akhirat, kita ingin mencapai kebahagiaan setelah tiba di sana.

"Daripada Ibnu 'Umar, beliau berkata: Rasulullah shallallahu 'alaihi wa sallam memegang bahuku lalu bersabda: Jadilah diri kamu di atas dunia ini sebagai seorang perantau atau pengembara. Ibn 'Umar berkata: Apabila kamu berada pada waktu petang, janganlah menunggu menjelangnya waktu pagi. Apabila kamu berada pada waktu pagi, janganlah menunggu menjelangya waktu petang. Gunakan peluang untuk beramal semasa kamu sihat untuk persediaan ketika kamu sakit dan semasa kamu hidup untuk persediaan matimu." [2]

Perancangan Ekonomi

Ekonomi penting dalam memastikan kelangsungan kehidupan di dunia. Jika ekonomi tidak stabil maka akan memberikan kesulitan kepada seseorang meneruskan hidupnya. Tetapi perlu diingat bahawa jangan jadikan ekonomi mendahului ibadah yang wajib dilaksanakan. Mencari wang dan harta untuk menyara kehidupan merupakan suatu perkara yang harus dilaksanakan hanya untuk memastikan kehidupan dapat berjalan dengan lancar. Namun, kerakusan dalam mencari wang dan harta merupakan suatu perkara yang perlu dielakkan. Jangan disebabkan wang dan harta menjadikan kita lupa akan akhirat.

Perlu bijak dalam menguruskan soal ekonomi dalam kehidupan. Kita tidak mahu kemewahan dunia menghakis cinta kita kepada akhirat. Gunakan wang dan harta untuk tujuan kebaikan. Infak harta sekiranya ada sekadar termampu untuk mencari redha Allah. Jangan terapkan sifat bakhil dalam diri kerana ini hanya bakal mengundang bencana. Wang dan harta bukanlah suatu warisan yang boleh dibawa bersama-sama setelah mati sebaliknya hanya akan menjadi tinggalan buat pewaris yang gembira menanti.

Perancangan Akhirat

Akhirat merupakan destinasi semua insan. Di sana kehidupan kekal selama-lamanya. Dunia ini sebagai pentas pementasan bagi mencapai kebahagiaan di sana. Keputusan penentu sama ada bahagia ataupun tidak di sana bermula segalanya di dunia. Oleh itu, persiapkanlah hidup semasa di dunia sebaik-baiknya jika ingin sebuah kegembiraan dan kebahagiaan.

Jangan memudahkan kehidupan di dunia ini sehingga harapan untuk mencapai kebahagiaan akhirat dihalai-balaikan. Jangan sangka kematian masih jauh dan masih banyak ruang untuk bersantai, kerana saat kematian tiba tiada penggera hanya datang tanpa disangka.

"Manusia (di dunia kebanyakannya) tidur. Bila mereka mati, barulah terjaga." [3] Suatu kiasan yang sungguh berkesan. Manusia sememangnya selalu lalai, alpa dan lupa ketika di dunia tetapi apabila sudah mati barulah diri rasa insaf dan menyesal. Namun semua itu sudah terlambat bagaikan nasi sudah menjadi bubur kerana apa yang berlaku tidak akan berulang kembali.

Berazamlah untuk menjadi insan yang berjaya di dunia dan di akhirat. Hidup kerana Allah, biar payah dan sukar sekalipun kehidupan ini mesti diteruskan jua dengan sabar serta tabah kerana usah dipandang letihnya usaha yang dilakukan namun lihatlah sebuah kejayaan yang bakal menanti di sana.

Inginku titipkan pesanan ini buat semua insan yang bersemangat mencari sinar kejayaan. Kita semua inginkan kebahagiaan di sana, bermula di dunia inilah kita mesti mencorak dan melakar langkah kita agar tidak terkeluar dari perancangan yang dibuat. Semoga kita dapat membina kejayaan yang diingini dengan berjaya. Jika kita fikirkan boleh, maka kita pasti boleh melakukannya.

Wallahu a'lam.

Oleh:
Muhammad Aliff
Kangar, Perlis.
29 September 2012 M
13 Zulka'edah 1433H

_____________________________________________

[1] Surah al-Ankabut, juzuk 20, ayat dua dan tiga

[2] Hadis riwayat Imam al-Bukhari

[3] 'Ali bin Abi Thalib, Ihya' Ulumiddin, 4:23

Friday, 6 July 2012

Merantau Demi Mencari Sebekal Ilmu

Assalamu'alaikum dan Salam Ukhwah.

Bismillaahir rahmaanir rahiim.

Manusia dengan ilmu tidak dapat dipisahkan. Bagaikan suatu adunan yang wajib disatukan bersama. Tanpa ilmu manusia jahil, tanpa ilmu manusia sesat dan tanpa ilmu manusia tiada matlamat. 

Sememangnya, keperluan ilmu kepada manusia merupakan sebuah keistimewaan terindah yang diberikan oleh-Nya. Mana mungkin seseorang yang tidak berilmu dapat mengenal Tuhannya, mana mungkin dia dapat mengenal dirinya, namun hanya dengan ilmu kita mampu menafikan itu semua. 

Lihatlah, dengan ilmu manusia mampu membina sebuah tamadun, dengan ilmu jugalah sebuah negara dapat merdeka, dengan ilmu jugalah manusia mampu mencapai apa yang dibanggakan mereka.

Di saat ini, jariku berdansa menaip apa yang ingin ku sampaikan, jariku menaip mengikut kata hati. Walaupun ilhamku untuk menghasilkan secebis pesanan ini bagaikan terhenti seketika disebabkan sibuk dengan tanggungjawab yang hakiki. Tanggungjawab menjadi seorang yang sedang mencari panduan dan haluan buat diri.

Melihat sahabat-sahabatku yang bakal memulakan perjuangan di medan ilmu. Terdetik di hati, inilah yang dipanggil pengembaraan. Pengembaraan demi mencari keberkatan dari Tuhan. Pengembaraan yang bakal membina masa hadapan. Ada yang mengembara di dalam negara ada juga yang bakal menjejakan kaki ke luar negara. 

Biarpun di mana kita berada dan bermukim. Ingatlah, tujuan utama kita adalah menuntut ilmu. Bukannya ingin mencari kesombongan, bukan ingin mencari kebanggaan dengan kelulusan yang dimiliki. 


Tuntutlah ilmu dengan sebaiknya, tuntutlah ia dengan sabar dan penuh ketabahan meskipun sukar. Kerana itulah lumrah menuntut ilmu, tidak dipanggil menuntut ilmu andai diri tidak menemui kesusahan dalam mempelajarinya.

Jadikan menuntut ilmu sebagai amanah dan tanggungjawab yang mesti dipikulkan sebaik mungkin. Biar nafsu sunyi tanpa godaan, biar kaki sunyi tanpa berjalan, namun jangan biarkan akal sunyi tanpa ilmu. Kerana menuntut ilmu bukan perkara biasa, tapi sebuah perkara yang luar biasa. Kepentingannya kepada insan sangat terbukti dan tidak perlu disangkalkan lagi.  

Tertarik diriku dengan kata-kata Hujjatul Islam, Imam al-Ghazali rahimahullah dalam karya agungnya Ihya' Ulumuddin:

" Ilmu tanpa amal adalah gila dan pada masa yang sama amalan tanpa ilmu adalah suatu amalan yang tidak akan berlaku dan sia-sia " .

Sebuah pesanan yang cukup bermakna dan berhikmah buat sang penuntut ilmu. Suatu peringatan tentang kepentingan amalan terhadap ilmu yang dimiliki. Hanya memiliki ilmu tanpa mengamalkannya adalah suatu perkara yang sia-sia.

Buat para sahabat yang seangkatan denganku dalam medan perjuangan menuntut ilmu. Titipkanlah pesanan yang berguna buat diri yang masih muda dan bertenaga. Gunalah masa yang ada sebaik mungkin untuk merantau mencari sebekal ilmu di samping berusaha beramal dengannya sekadar termampu.  

Jauhilah sikap berbangga-bangga dengan taraf kelulusan yang dimiliki. Kerana itu semua tidak membawa apapun kesan buat diri, hanya gembira di hati tetapi diri tiada apa yang harus dipuji. 

Kerana seseorang yang berilmu tidak dinilai pada taraf kelayakannya, tidak juga dinilai pada tahap pointer yang diperoleh, namum dinilai bagaimana seseorang itu dapat mengamalkan dan menggunakan ilmu yang dimilikinya itu dengan berguna.

Wallahu a'lam.

Oleh: Aliff

Wednesday, 6 June 2012

Transit Zuhrah: Satu Lagi Catatan Sejarah Buat Kita

Assalamu'alaikum dan Salam Ukhwah.

Bismillaahir rahmaanir rahiim.

Segala puji hanya bagi Allah subhanahu wa ta'ala, dengan limpah kurnia dan izin-Nya dapat juga saya menyaksikan suatu fenomena alam semesta yang cukup menarik serta unik pada hari ini (Rabu, 6 Jun 2012) iaitu fenomena Transit Zuhrah. Walaupun pada mulanya pelbagai halangan yang ditempuh disebabkan kelemahan diri saya sendiri namun akhirnya berjaya jua saya menyaksikan fenomena yang boleh dikatakan sebagai peluang terakhir untuk kita menyaksikannya kerana untuk Transit Zuhrah ini kembali berlaku adalah 105 tahun yang akan datang iaitu pada tahun 2117.

Apapun inilah bukti betapa hebat dan besarnya kekuasaan Allah subhanahu wa ta'ala. Tatkala melihat transit ini berlaku terfikir sejenak bahawa beginilah gambaran saiz bumi dengan matahari kerana saiz bumi dan zuhrah adalah hampir sama. Zuhrah ibarat tompokan kecil hitam sahaja apabila dilihat melintasi matahari.

Sedikit penjelasan saya secara ringkas mengenai transit ini. Fenomena Transit Zuhrah ini berlaku disebabkan kedudukan matahari, zuhrah dan bumi berada dalam keadaan sejajar. Keadaan ini sangat jarang berlaku iaitu kedudukan zuhrah berada tepat antara matahari dan bumi. Zuhrah akan melintasi matahari ketika transit ini berlaku dan kita di bumi boleh melihatnya menggunakan alatan pencerap serta juga mata kasar dengan menggunakan penapis matahari.

Fenomena Transit Zuhrah ini berlaku dalam satu corak berulang setiap lebih sedikit dari 100 tahun. Apabila transit ini berlaku ia akan datang dalam dua pasangan fenomena yang dijarakkan 8 tahun antara satu sama lain. Sejak fenomena ini pertama kali dikenalpasti, ia telahpun berlaku sebanyak 6 kali transit iaitu pada tahun 1639, 1761, 1769, 1874, 1882 dan kali terakhir pada 2004. Oleh itu, kemungkinan Transit Zuhrah pada tahun ini adalah peluang terakhir untuk kita menyaksikannya kerana untuk transit ini kembali berlaku adalah pada 105 tahun yang akan datang.

Di bawah antara beberapa gambar contoh yang sempat saya ambil ketika melihat perjalanan transit ini menerusi perkhidmatan iTelescope.net dari Siding Spring Observatory, Australia. Masa yang diambil adalah berdasarkan waktu di Australia. Perbezaaan waktu Malaysia dengan Australia adalah 2 jam. Maksudnya, andai di Australia pukul 1.30 petang maka di Malaysia baharu pukul 11.30 pagi.


Tompokan hitam itu ialah zuhrah manakala yang agak keperangan itu ialah matahari. 


Transit ketika di frasa akhir iaitu zuhrah sedang mula keluar dari kawasan matahari.

Fenomena transit ini telahpun berlaku dengan jayanya. Bagi kita ini merupakan suatu catatan sejarah dan kenangan yang tidak dapat dilupakan. Suatu yang mustahil untuk kita mampu hidup 105 tahun lagi yang akan datang. Oleh itu, jadikan apa yang kita semua alami hari ini sebagai suatu peristiwa yang akan menjadikan diri kita lebih bersyukur kepada Allah subhanahu wa ta'ala di atas segala nikmat kehidupan yang telah diberi selama ini dan semoga ia dapat meningkatkan keimanan serta ketakwaan kita kepada-Nya. 

" Sesungguhnya pada kejadian langit dan bumi serta pada pertukaran malam dan siang, ada tanda-tanda (kekuasaan, kebijaksaan dan keluasan rahmat Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Iaitu) orang-orang yang menyebut dan mengingati Allah semasa mereka berdiri dan duduk serta semasa mereka berbaring mengiring dan mereka pula memikirkan tentang kejadian langit dan bumi (sambil berkata): Wahai Tuhan Kami, tidaklah Engkau menjadikan benda-benda ini dengan sia-sia, Maha Suci Engkau, maka peliharalah kami dari azab Neraka " .
( Surah Ali 'Imran, ayat 190 dan 191 )

Wallahu a'lam.

Oleh: Aliff

Thursday, 8 March 2012

Keputusan Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu Piala Perdana Menteri 2012

Assalamu'alaikum dan Salam Ukhwah.

Bismillaahir rahmaanir rahiim.




Pertandingan Pidato Antarabangsa Bahasa Melayu ( PABM ) bagi tahun 2012 telah diadakan bagi ujian saringan dan separuh akhir pada 5 hingga 7 Mac 2012 manakala bagi malam kemuncak akhir PABM telah diadakan pada 8 Mac 2012 yang diadakan di Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya ( PICC ).

Pertandingan ini telah dianjurkan oleh Kementerian Pengajian Tinggi dengan kerjasama Kementerian Pelajaran Malaysia, Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Kementerian Pelancongan di samping AG Bestari Events Sdn. Bhd. dilantik selaku pengurus acara dan bertindak sebagai Sekretariat PABM. Seramai 69 orang peserta telah mengambil bahagian dalam PABM 2012 kali ini iaitu bagi kategori Antarabangsa seramai 59 orang peserta manakala bagi kategori Nusantara seramai 10 orang peserta.

Pertandingan ini telah dimulakan dengan ujian saringan dan seterusnya ke peringkat separuh akhir. Daripada 59 orang peserta yang bertanding hanya lapan orang peserta sahaja yang layak untuk berentap di peringkat akhir PABM 2012 iaitu lima dari kategori Antarabangsa dan tiga dari kategori Nusantara.

Markah para pemenang ditentukan berdasarkan 50 markah bagi isi yang disampaikan, 20 markah bagi gaya dan persembahan serta 30 markah bagi bahasa. Markah isi diadili dari segi definisi tajuk pidato, kesesuaian hujah dengan tajuk pidato, pengembangan dan penjelasan hujah yang bernas, fakta-fakta, bukti dan contoh yang bersesuaian dengan hujah. Markah bagi gaya dan penyampaian diadili berdasarkan persembahan pemidato yang lancar, tiada bergantung sepenuhnya kepada nota, kesesuaian nada suara dan persembahan yang meyakinkan, gaya persembahan yang menarik, nilai bujukan yang tinggi serta penyampaian hujah yang tertib. Manakala markah bagi bahasa pula diadili dari segi bahasa yang jelas ( struktur dan sebutan ) dan gaya bahasa yang berkesan serta tepat dengan maksud yang hendak disampaikan.

Keputusan panel hakim adalah muktamad dan markah yang dicatatkan adalah rahsia serta sulit. Para pemenang PABM 2012 yang telah diputuskan oleh panel hakim adalah seperti berikut:

Kategori Nusantara:


Johan: Fathiah Ibrahim ( Malaysia )

- Piala Pusingan, Piala Perdana Menteri
- Piala iringan
- Wang tunai berjumlah USD 5000
- Hadiah iringan dan sijil

Naib Johan: Dayangku Mumtazah Pangiran Hj. Md. Jaafar ( Brunei Darussalam )

- Piala iringan
- Wang tunai USD 3000
- Hadiah iringan dan sijil

Tempat Ketiga: Wahyudi ( Indonesia )

- Piala iringan
- Wang tunai USD 2000
- Hadiah iringan dan sijil

Kategori Antarabangsa:


Johan: Sebghatullah Qazizada ( Afghanistan )

- Piala Pusingan, Piala Perdana Menteri
- Pialan iringan
- Wang tunai USD 5000
- Hadiah iringan dan sijil

Naib Johan: Polina Matveycheva ( Rusia )

- Piala iringan
- Wang tunai USD 3000
- Hadiah iringan dan sijil

Tempat Ketiga: Elena Vorobyeva ( Latvia )

- Piala iringan
- Wang tunai USD 2000
- Hadiah iringan dan sijil

Saguhati:

Semua peserta yang bertanding akan menerima sebuah plag, wang tunai RM 1000, hadiah cenderamata dan sijil.

Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh YAB Dato' Sri Mohd Najib Bin Tun Haji Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia yang turut bertindak sebagai Penaung PABM.

Tahniah diucapkan kepada semua pemenang dan peserta yang menyertai PABM 2012 kali ini. Semoga bahasa Melayu akan terus dimartabatkan di seluruh dunia. Bahasa melambangkan bangsa, bahasa jua yang menyatukan kita semua.

Oleh: Aliff

Sumber Rujukan:

Portal Rasmi PABM 2012